ALOR SETAR – Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar rakyat bersikap tenang serta tidak panik dengan gelombang kedua wabak COVID-19 yang melanda negeri ini.
Baginda bertitah rakyat perlu berhati-hati dan patuh kepada arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dengan sentiasa berada di rumah dan tidak keluar tanpa sebarang tujuan.
“Rakyat tidak boleh ambil mudah terhadap arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bertujuan memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat terjamin.
Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah merancang dan mengambil tindakan yang berterusan sebagai persediaan menghadapi wabak itu.
Tuanku bertitah, baginda dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff serta seluruh kerabat Diraja negeri sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat agar kembali bebas daripada pandemik itu.
— BERNAMA