KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) meminta para pelanggannya yang terjejas ekoran wabak COVID-19 segera menghubungi bank itu bagi mendapatkan bantuan bersesuaian memandangkan tempoh moratorium akan tamat pada 30 September ini.
“Pihak BSN ingin menegaskan para pelanggan yang belum memberi maklum balas untuk segera memohon Pakej Penyusunan Semula Pembiayaan, memandangkan pembayaran pembiayaan seperti biasa akan bermula pada Oktober 2020” kata Datuk Yunos Abd Ghani, Ketua Eksekutif BSN.
Ini kerana, proses untuk meneliti setiap permohonan peminjam mengambil masa.
Cawangan-cawangan BSN terpilih akan dibuka pada 13 dan 20 September (Ahad) dari jam 10 pagi sehingga 3 petang.
Pelanggan boleh mengunjungi Cawangan Utama BSN di seluruh negara (kecuali Kedah) serta cawangan–cawangan terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor.
Bagi Negeri Kedah pula, pelanggan boleh berkunjung ke Cawangan BSN Aman Jaya bagi memudahkan para pelanggan untuk berjumpa dengan pegawai kami bagi mengetahui lebih lanjut mengenai Pakej Penyusunan Semula Pembiayaan, ujarnya. – MalaysiaGazette