Home Sukan Anugerah Gol Terbaik Sedekad AFC milik Safawi

Anugerah Gol Terbaik Sedekad AFC milik Safawi

Foto Ehsan: Johor Darul Ta'zim

KUALA LUMPUR – Bintang muda pasukan Southern Tigers Safawi Rasid telah dianugerahkan Gol Terbaik Sedekad Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Badan bola sepak Asia itu mengumumkan penganugerahan berprestij kepada penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim itu dalam laman web rasminya hari ini sekaligus mengesahkan anugerah itu sah menjadi milik anak Malaysia kali ini.

Menurut AFC anugerah itu diberikan selepas pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu memenangi anugerah berkenaan setelah menerima undian tertinggi sebanyak 34 peratus daripada peminat bola sepak di Asia.

Gol yang melayakkan Safawi diundi dan diangkat sebagai pemenang anugerah itu adalah jaringan hasil sepakan lencong dalam aksi Liga Juara-Juara Asia menentang kelab China, Shandong Luneng pada 19 April 2019.

Bagaimanapun perlawanan itu berkesudahan dengan keputusan 1-2 memihak kepada kelab China itu.

Daripada 10 nama pemain yang dipilih sebagai finalis, gol lencongan menarik itu berjaya meraih perhatian dan sokongan peminat bola sepak Asia.

AFC turut memuat naik video jaringan gol menarik Safawi untuk tatapan umum dalam laman web rasminya.-MalaysiaGazette