Home Nasional Bendung pencemaran air dengan Akta 655

Bendung pencemaran air dengan Akta 655

Sungai Gong yang tercemar berpunca dari sebuah kilang yang disyaki melakukan pelepasan sisa berbau di Jalan Batu Arang, Rawang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR- Kerajaan boleh membendung pencemaran sumber air menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) Seksyen 121 (1)(c) yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, pelaku akan dikehendaki membayar pampasan bagi kerosakan dilakukan, kepada pihak operator jika ia dibuktikan dengan sengaja, cuai atau melulu merosakkan atau menyebabkan supaya dirosakkan mana-mana bahagian daripada mana-mana sistem bekalan air awam atau sistem pembetungan awam bawah Seksyen 122 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Menurut Presiden Persatuan Wira Air (Perwira), Muhammad Dhiyauddin Saharudin, pihak berkuasa tempatan juga perlu mengambil Langkah proaktif bagi membanteras isu lesen kilang yang menyalahi undang-undang alam sekitar.

“Perwira sekaligus menyeru pihak berwajib seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil langkah proaktif dan perlu diperkasa bagi membanteras isu lesen kilang yang menyalahi undang-undang alam sekitar.

“Juga diharapkan rakyat dapat membantu untuk memantau dan melaporkan kepada SPAN jika mengesyaki pengilang mencemarkan sumber air. Aduan boleh dibuat kepada [email protected]

“Perwira bersedia untuk membantu Kerajaan Negeri Pakatan Harapan di Selangor bagi menyelesaikan isu ini selari dengan konsep prihatin Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perwira adalah Forum Air di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selaras dan tertakluk kepada Seksyen 69 dan Seksyen 70 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).- MalaysiaGazette