Home Nasional Duduk atas motor curi, lima rakan sepenjenayah tumpas

Duduk atas motor curi, lima rakan sepenjenayah tumpas

ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

PETALING JAYA – Tindakan seorang remaja berusia 18 tahun yang mencurigakan akhirnya membawa kepada penahanan lima suspek sindiket curi motosikal di Lembah Klang.

Remaja berkenaan disyaki kerana duduk di atas motosikal dalam keadaan enjin kenderaan itu hidup.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pada Rabu lalu sekitar jam 11.40 malam pasukan polis yang terlibat dalam rondaan memeriksa remaja tempatan itu yang duduk di atas sebuah motosikal di hadapan Pusat Perubatan Damansara Damai.

“Hasil pemeriksaan terhadap motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang digunakan suspek mendapati enjin masih hidup tanpa anak kunci di lubang suis kunci motosikal itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemeriksaan lanjut polis turut menemui wayar yang telah diubahsuai suspek bagi menghidupkan enjin motosikal itu dan hasil semakan nombor enjin motosikal membongkar rekod kehilangan kenderaan itu pada 7 September lalu bersabit di Balai Polis Kota Damansara yang disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, kata Nik Ezanee.

“Malahan siasatan awal polis terhadap suspek yang ditahan mengaku meletakkan barang hasil curi serta peralatan untuk melakukan jenayah curi motosikal dan pecah cermin kereta di sebuah hotel di Damansara Damai,” katanya.

Berdasarkan pengakuan suspek remaja itu, polis pasukan Petaling Jaya telah membuat serbuan di sebuah hotel di Damansara Damai.

Dalam serbuan asing itu polis berjaya menahan empat lagi individu tempatan disyaki rakan sejenayah suspek pertama berusia lingkungan 14 hingga 27 tahun.

“Dua daripadanya adalah wanita berusia 14 dan 27 tahun dan keempat-empat suspek dipercayai turut terlibat dalam akiviti mencuri motosikal.

“Dalam serbuan sama, polis juga berjaya merampas barang-barang yang disyaki digunakan dalam akiviti jenayah mencuri motosikal dan pecah cermin kenderaan.

“Semakan rekod lampau ke atas mereka mendapati dua daripada rakan sejenayah suspek turut mempunyai rekod jenayah dan dadah dan kesemua direman selama empat hari,” katanya.

Menurut beliau, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda.

Ujar Nik Ezanee, siasatan lanjut masih dijalankan ke atas semua suspek berkenaan.

“Kami turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR, lapan telefon bimbit pelbagai jenama, pelbagai peralatan yang digunakan untuk jenayah curi motosikal dan pecah cermin kereta,” tegas beliau.- MalaysiaGazette