SAN FRANCISCO – Langit di San Francisco berubah menjadi jingga disebabkan kebakaran besar yang berlaku di wilayah teluk di bandar raya itu, lapor agensi berita Anadolu.
Angin kencang menyebabkan api semakin marak di California, kata pegawai perlindungan hutan dan pencegahan kebakaran dan menurutnya keadaan itu mengancam kawasan berdekatan, utara Oregon.
Jabatan CalFire dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, beberapa lokasi kebakaran baharu terjadi di kawasan gunung dan kaki bukit, disebabkan tiupan angin kencang mencecah 88.5 kilometer sejam.
Pada Rabu, kira-kira 14,000 anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran di 28 kawasan di seluruh California.
Kejadian itu telah memusnahkah lebih 2.5 juta ekar kawasan di negeri ini sejak awal tahun, selain menyebabkan lapan orang maut dan lebih 3,700 bangunan musnah.
Sebilangan pakar mengatakan perubahan iklim menyebabkan cuaca panas melampau dan angin kencang, manakala lebih 12,000 kejadian petir berlaku pada Ogos. – Bernama