Home Politik Langkah berani UMNO Sabah pilih majoriti muka baharu

Langkah berani UMNO Sabah pilih majoriti muka baharu

Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Majoriti calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini adalah muka baharu.

Ini membuktikan UMNO Sabah berani melakukan reformasi dan pembaharuan untuk mengetengahkan calon baharu sebagai pemimpin.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ini juga membuktikan UMNO Sabah tidak ketandusan pemimpin dan pelapis baharu bagi menyambung perjuangan parti di negeri itu.

“Walaupun pada PRU14, UMNO ditolak golongan muda, tetapi PRN kali ini adalah peluang untuk parti UMNO bangkit kembali membawa suara rakyat.

“UMNO adalah parti rakyat, bukan milik pemimpin. Rakyat akan terus menjadi teras kepada UMNO.

“Demi rakyat, UMNO akan terus berjuang dan menjadi platform utama bagi golongan muda untuk partisipasi politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BN bersama Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan bertanding merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Sabah kali ini.

Bagaimanapun, sebanyak 11 kerusi ditandingi BN, PN dan PBS menyaksikan pertembungan sesama sendiri selepas semua parti mengumumkan senarai calon dan kerusi masing-masing, semalam.

BN bertanding paling banyak kerusi dengan 40 kawasan DUN, masing-masing 31 ditandingi UMNO, diikuti lima oleh Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan empat MCA.

PN pula bertanding di 29 kerusi, masing-masing 19 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), diikuti lapan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan dua Parti Maju Sabah (SAPP).

PBS, satu-satunya parti yang hanya menjadi penyokong PN pula bertanding di 15 kerusi.

Berdasarkan semakan, kerusi ditandingi PBS paling banyak bertembung dengan rakan parti lain. – MalaysiaGazette