Home Sukan PKPD: Tiada pindaan jadual perlawanan Kedah – Sabah

PKPD: Tiada pindaan jadual perlawanan Kedah – Sabah

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) mengesahkan tiada pindaan jadual berlaku buat masa ini melibatkan perlawanan CIMB Liga Super di antara pasukan Kedah dan Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 19 September ini.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan terkini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dilaksanakan di 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah yang telah berkuatkuasa mulai semalam sehingga 25 September depan.

Jelasnya, pengendali Liga Malaysia itu akan mengikuti perkembangan PKPD di daerah Kota Setar serta sentiasa berhubung dengan pasukan Kedah dan pasukan lawan untuk memastikan segala maklumat semasa dapat dikemaskini sebelum memutuskan sebarang perubahan jadual disebabkan pandemik Covid-19.

“Buat masa ini, jadual di antara pasukan tuan rumah, Kedah dan Sabah pada 19 September ini adalah kekal dan tidak berubah.

“Namun MFL memandang serius perkembangan terkini apa yang berlaku di Alor Setar di mana kami akan mengambil pendekatan meninjau situasi Covid-19 daripada masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani juga tidak menolak berlaku perubahan jadual CIMB Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar jika situasi pandemik Covid-19 menjadi semakin serius.

Katanya, beberapa mekanisme telah pun dikaji melibatkan pertemuan Kedah dan Sabah itu jika perubahan jadual CIMB Liga Super dibuat disebabkan PKPD di daerah Kota Setar, Kedah itu.

“Seperti saya katakan tadi, MFL akan memantau perkembangan semasa. Jika ada kelonggaran kemasukan pasukan di daerah PKPD seperti yang dilaksanakan sebelum ini di mana perlawanan Sarawak United FC menentang Selangor 2 di Kuching, dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, saya fikir tiada masalah.

“Namun jika ia tidak mendapat kebenaran kerajaan, MFL telah pun mengkaji beberapa mekanisme lain termasuk bermain di luar negeri tersebut.

“Saya cuma berharap kesemua pasukan memahami dan tidak mempertikaikan jika ada berlaku perubahan jadual CIMB Liga Super nanti kerana kita sedang berdepan masalah pandemik Covid-19 dan PKPD di daerah Kota Setar, Kedah.

“Jadi marilah kita sama-sama berdoa agar penularan Covid-19 di negara dapat dibendung bukan hanya untuk memastikan kelancaran Liga Malaysia tapi apa yang lebih penting adalah demi keselamatan dan kesejahteraan kita semua,” katanya. – MalaysiaGazette