Home Politik PKR Sabah nafi mohon 14 kerusi dari Warisan

PKR Sabah nafi mohon 14 kerusi dari Warisan

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew (tengah) bersama calon-calon Pilihan Raya Negeri Sabah pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Warisan Plus dari DAP di Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew menegaskan parti itu tidak pernah meminta diberikan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Malah beliau mendedahkan tidak tahu bagaimana Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek mengeluarkan kenyataan seperti itu baru-baru ini.

Sebaliknya beliau menambah pengagihan yang ditetapkan oleh Warisan Plus pada Khamis, iaitu sebanyak tujuh kepada PKR merupakan persetujuan di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew bercakap kepada media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Warisan Plus dari DAP di Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2020.

“PKR Sabah tidak pernah memohon 14 kerusi. Tidak. Saya tidak tahu apa yang terjadi, cuma saya sebagai Pengerusi saya tidak pernah ada mohon 14 kerusi.

“Anwar dan Shafie setuju pengagihan kerusi itu. Kedua-dua parti gembira dengan keputusan itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengenalan Calon-calon Warisan Plus di Sekolah Menengah Kian Kok malam tadi.

Tambah Christina, beliau sebagai Pengerusi PKR di negeri itu berpuas hati dengan keputusan Warisan dan akan memastikan semua kerusi yang ditandingi parti berkenaan akan menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September nanti.

Untuk rekod pada Rabu lalu Simsudin menerusi kenyataan berkata PKR akan bertanding di 14 kerusi DUN.

Ianya menurut beliau diputuskan menerusi rundingan akhir di antara Presiden Warisan dan PKR.

Warisan dan sekutunya DAP, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Amanah Negara (Amanah) mengumumkan 66 calon akan bertanding PRN Sabah kelak.-MalaysiaGazette