Home Politik Shafie nafi pemimpin PKR ‘pulau’ pengumuman calon

Shafie nafi pemimpin PKR ‘pulau’ pengumuman calon

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal beramah mesra selepas menunaikan solat dhuha dan solat hajat ketika hadir ke majlis perjumpaan bersama guru-guru besar, guru-guru dan imam-imam sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Masjid Jamek, Kampung Bantayan Semporna. foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2020.

SEMPORNA – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal menjelaskan bahawa Ketua PKR Sabah, Christina Liew tidak meninggalkan dewan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, sebaliknya Christina terpaksa bergegas menghadiri satu program dan disebabkan itu berlaku salah faham tentang situasi semasa pengumuman itu berlangsung.

“Dia tidak keluar, sebenarnya kerana saya tanya dia adalah dia ada senarai calon. Tapi dia jawab ada urusan. Mungkin salah tafsir kerana dia minta izin dan beritahu saya dia ada program.

“Dia kata ada program dan diuruskan. Itu tidak jadi masalah, bukan dia keluar dewan,” katanya kepada media selepas menghadiri program ramah mesra bersama guru besar dan imam-imam di Masjid Jamek Kampung Bantayan, hari ini.

Semalam, media melaporkan sekumpulan anggota PKR kemudian dilihat meninggalkan dewan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu selepas berbincang dengan Christina.

Ini dipercayai disebabkan parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanya memperolehi separuh daripada jumlah kerusi yang diharapkan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bercakap kepada media selepas hadir ke perjumpaan bersama guru-guru besar, guru-guru dan imam-imam sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Masjid Jamek, Kampung Bantayan Semporna. foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2020.

Dalam pada itu, Shafie berkata, segala perbincangan mengenai kerusi yang akan ditandingi Warisan Plus telah diputuskan.

Ujarnya, Warisan Plus bertanding di PRN kali ini untuk memastikan kemenangan dan mengekalkan kerajaan negeri.

“Bila kita beri kerusi kita nak pastikan menang. Jangan beri kerusi nanti kita kalah.

“Itu tujuan berpolitik ini nak dapatkan kuasa bukan nak dapat kerusi. Jadi kita kena fokus dan kena dalami betul-betul ada nilai, ada kualiti dan gerak kerja.

“Tidak ada ertinya kita beri kerusi tapi cawangan penggerak kita di situ tidak ke mana maka itu boleh menjejaskan kejayaan kita untuk memenangi PRN.

“Saya juga pantau dari segi siapa calon mereka dan saya tidak campur dan mereka (PKR) putuskan calon. Tapi kita nak tolong bukan tak mahu tolong. Cara saya tolong kita nasihatkan supaya jumlah itu kena teliti kalau boleh menang semua bolehlah ambil semua,” katanya lagi.

Hari ini, PKR Sabah mengumumkan hanya tujuh kerusi akan ditandingi parti itu dalam PRN kali ini.

Kerusi-kerusi itu adalah DUN Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Klias dan Sook.

Daripada 73 kerusi DUN di PRN Sabah, Warisan bertanding di 45 kerusi, tujuh bagi DAP dan satu kerusi untuk Amanah. – MalaysiaGazette