Home Nasional 447 calon bertanding dalam PRU DUN Sabah – SPR

447 calon bertanding dalam PRU DUN Sabah – SPR

Calon Warisan bagi DUN Bugaya yang juga Ketua Wanita Warisan, Manis Buka Mohd Darah (dua dari kiri) bergambar bersama calon Perikatan Nasional, Ahmad Daud Tampakong (tiga dari kanan), calon Parti Cinta Sabah, Jihek Basanu (kiri), calon Parti Bebas, Rasidan Abd Latiff (tiga dari kiri), calon USNO, Ahmad Kanajaan (empat dari kanan), calon bebas Abdul Jan Muammil @ Abdul Jim (dua dari kanan) dan calon Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Taraji Jamdi (kanan) selepas menghantar borang pencalonan pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah DUN Sulabayan N.64, Senallang N.65 dan Bugaya N.66 di Dewan Masyarakat Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seramai 447 calon mewakili pelbagai parti dan individu disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, selepas tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi tadi, ia menerima 73 pencalonan dari Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Warisan Sabah (Warisan) 53; Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) 47, Parti Demokratik Liberal (LDP), 46 dan Barisan Nasional (BN) 41.

Perikatan Nasional (PN) 29; Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) 28; Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) 23; Parti Bersatu Sabah (PBS) 22, United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO) 12; Parti Keadilan Rakyat 7 dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) 5.

Manakala Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) 2; Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan) masing-masing satu calon.

Calon bebas pula seramai 56 orang.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, satu kertas pencalonan ditolak atas sebab calon bankrap.

Pencalonan itu dari USNO untuk kerusi DUN Petagas.

Menurutnya, DUN Bengkoka menyaksikan persaingan 11 penjuru dan DUN Inanam 10 penjuru.

Tiga DUN dengan 9 penjuru, enam DUN (8 penjuru) dan 8 penjuru di enam DUN.

Sebanyak tujuh penjuru di 13 DUN, enam penjuru di 26 DUN, lima penjuru di 15 DUN, empat penjuru di lima DUN dan tiga penjuru di tiga DUN.

Bagi PRU DUN ini, SPR telah melantik 163 orang pemerhati pilihan raya daripada 14 buah organisasi (agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan 9 individu yang berkelayakan) untuk memantau proses pilihan raya ini.

PRU DUN Sabah ini juga menyaksikan 404 calon lelaki dan 43 calon wanita yang bertanding berusia antara 22 tahun dan 75 tahun.

Dengan selesainya proses penamaan ini, maka tempoh berkempen bermula hingga 11.59 malam pada 25 September ini.

Katanya, Bagi PRU DUN ini, SPR telah melantik 163 orang pemerhati pilihan raya daripada 14 buah organisasi (agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan 9 individu yang berkelayakan) untuk memantau penjalanan proses pilihan raya ini.

SPR menjangkakan sebanyak 75% pengundi akan keluar mengundi untuk PRU DUN ini. – MalaysiaGazette