KUALA LUMPUR – Gara-gara leka berhibur tanpa menghiraukan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), seramai 183 pengunjung ditahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Bukit Bintang, awal pagi ini.
Ketika serbuan Ops Noda oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada pukul 12.50 pagi itu, premis hiburan berkenaan masih memainkan muzik dengan kuat dan pengunjung dalam keadaan sesak tanpa menghiraukan amalan penjarakan fizikal.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) IPK Kuala Lumpur, ACP Rohan Shah Ahmad berkata, daripada 183 yang ditahan itu, 75 adalah pengunjung wanita berusia antara 21 dan 40 tahun.
“Polis turut menahan 12 pekerja premis berkenaan termasuk enam pekerja warga asing yang dipercayai bekerja tanpa permit kerja sah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian selepas mengetuai operasi tersebut.
Dalam operasi yang berakhir pada kira-kira pukul 3 pagi itu, polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya pembesar suara, telefon bimbit selain wang tunai berjumlah RM2,000.
Menurut beliau, semakan awal premis berkenaan menunjukkan ia beroperasi tanpa lesen.
Kesemua individu yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1993, Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020 dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan 1952. – Bernama