SEMPORNA – Langkah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meneliti keperluan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) disambut baik Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.
Katanya, sekiranya pelaksanaan itu perlu, maka kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa segera membuat pelaksanaan itu demi membendung penularan Covid-19.
“Kalau itu merupakan satu langkah yang perlu lakukan kita lakukan kerana kebimbangan saya walaupun keadaan di sini agak terkawal tapi di kawasan penjara Tawau itu yang agak tidak terkawal, jadi kita jangan ambil ringan.
“Kalau segeranya langkah itu dilakukan silalah,” katanya selepas berkempen hari pertama di Semporna sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bahawa kerajaan sedang meneliti keperluan itu bagi sesiapa yang ingin memasuki Semenanjung dari Sabah.
Adham berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.
Dalam pada itu, Shafie menjelaskan, pihak berkuasa Sabah selalu memantau perkembangan kes itu, malah telah menutup pintu keluar daripada penjara Tawau.
“Saya tidak jadi masalah sangat kerana kita di peringkat negeri Sabah dan pusat gerakan kerja kita setiap waktu akan menguruskan pemantauan kes-kes berlaku bagaimana kita nak kawal.
“Contohnya penjara, mereka tidak boleh keluar dan kita telah beri arahan dan orang tidak boleh masuk ke situ,” katanya lagi.
Kes positif Covid-19 di Sabah meningkatkan semalam melonjak tiga angka kepada 182 kes.
Ia melibatkan 181 penularan tempatan dan satu kes import, iaitu tertinggi setakat ini dalam tempoh beberapa bulan selepas mencatatkan 100 kes pada Selasa lepas.
Kes Covid-19 di Sabah yang membabitkan Kluster Benteng LD merekodkan 250 kes dengan 167 kes baharu direkodkan setakat semalam. – MalaysiaGazette