KUALA LUMPUR – Pas gagal meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini selepas gagal menemui kesepakatan dalam perundingan dengan parti-parti rakan di Sabah.
Ahli Jawatankuasa Pusat Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Nik Abdul Aziz yang mendedahkan perkara itu berkata, ia sudah pasti amat mendukacitakan tetapi parti itu menerimanya dengan lapang dada.
”Kegagalan adalah untuk hari ini. Esok bukan hari ini.
“Pas menjunjung politik akhlak yang mulia dan moral yang tinggi. Sebagaimana insan yang mulia akhlaknya membina keindahan untuk dirinya, begitulah untuk orang disekelilingnya. Ia memancar cahaya buat semua rakan-rakan dan mencetus kegembiraan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut beliau, mesej Pas, rakyat mahukan politik negara yang lebih berintegriti dan sejahtera oleh itu, semuanya mesti bermula dengan kesepakatan sesama parti-parti politik deminya.
Walaupun ia bukan mudah tetapi memerlukan perlukan perjuangan berterusan dan beristiqamah, ujarnya.
“Ada yang mentertawakan Pas. Ya, itulah senjata orang yang gagal. Kehendak sebenar mereka adalah Pas gagal berunding dan gagal menerima kegagalan itu lalu memberontak, melawan balik dan memecah-belahkan kesepakatan di antara parti-parti rakan dengan bertanding bersendirian di PRN Sabah.
”Dengan itu, mereka mendapat senjata paling ampuh melakukan serangan sepanjang kempen pilihan raya,” ujar beliau.
Namun malang bagi mereka kerana parti itu memilih jalan kemuliaan.
”Orang menang senyum gembira. Orang kalah asyik mempersenda mengubat duka.
”Mesej dan matlamat perjuangan kekal dipertahankan. Pas gembira melihat parti-parti rakan memasuki piliha raya dengan penuh kesatuan. Semoga menang dan berjaya buat UMNO dan rakan-rakan di Sabah,” katanya sambil memaklumkan akan turut berkempen di Sabah. – MalaysiaGazette