KALABAKAN – Calon muka baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Andi Muhammad Surady Bandy bernekad kerusi itu ‘dikembalikan’ kepada Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, biar pun muka baharu dalam arena politik, namun itu tidak menghalangnya untuk membuktikan kepada parti pemilihan beliau sebagai calon bukan perkara sia-sia.
“Ini pertama kali saya terpilih untuk mewakili BN jadi ada sedikit gemuruh dan gentar tetapi memandangkan keperluan yang mendesak untuk kerajaan Sabah ditukar dengan segera jadi saya sahut cabaran itu dan menerima tanggungjawab ini dengan baik,” katanya kepada MalaysiaGazette.
BN Sabah mempertaruhkan Andy mempertahankan kerusi DUN Tanjung Batu selepas penyandangnya, Datuk Hamisa Samat bersama lima lagi ADUN Sabah bertindak keluar parti dan menyokong kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) dua tahun lalu.
Empat daripada mereka adalah ADUN UMNO iaitu Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik), Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu), Datuk Osman Jamal (Balung) dan Jamawi Jaafar (Kemabong).
Dua lagi ADUN ialah dari Pertubuhan Pasokmmogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) iaitu Ewon Benedict (Kadamaian) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).
Dalam pada itu, Andi berkata, biar pun banyak pembangunan yang dikecapi Tanjung Batu sebelum ini namun banyak lagi masalah rakyat yang masih belum diselesaikan.
Dengan itu, beliau berkata, perkara itu akan cuba diselesaikan sekiranya pengundi DUN itu masih memilih BN sebagai parti mereka.
“Untuk Tanjung Batu itu walaupun sebelum ini dipegang oleh ADUN BN banyak juga pembangunan yang telah dilakukan tetapi dalam masa yang sama masih perlu banyak penambahbaikan yang diperlukan dan harus dilakukan.
“Kita akan menyelesaikan apa-apa masalah ataupun perkara yang perlu untuk pembangunan Tanjung Batu.
“Ini adalah kawasan pembangunan yang padat dan kita lihat masalah setempat seperti perparitan, sampah dan jalan raya” katanya lagi. – MalaysiaGazette