KUALA LUMPUR – Sebanyak 47 kes baharu positif Covid-19 direkodkan pada hari ini melibatkan 45 kes penularan tempatan dan dua kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sr Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes import itu melibatkan warganegara asing yang baru tiba dari Maldives dan Maghribi.
Menyentuh mengenai kes tempatan, beliau memaklumkan daripada 45 kes, 28 melibatkan warganegara Malaysia manakala 17 lagi bukan warganegara.
Sabah merekodkan 31 kes baharu positif Covid-19 hari ini dengan 22 kes daripada Kluster Benteng (lapan rakyat Malaysia, 14 bukan warganegara).
Baki enam kes lagi melibatkan empat kes hasil saringan warga emas di klinik kesihatan; dua kes saringan di pusat kuarantin dan masing-masing satu kes melibatkan saringan petugas kesihatan, saringan kesihatan Orang Kena Tahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat dan kes Influenza-like-ilness.
Kedah pula merekodkan 14 kes baharu hari ini dengan 13 kes daripada Kluster Tawar dan satu kes daripada Kluster Sungai.
“Seramai tujuh pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar, sembilan mendapat rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan 47 kes baharu dan tujuh telah didiscaj, ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 591 orang dan kesemuanya telah diasingkan dan diberikan rawatan.
Tiada kematian direkodkan menjadikan angka korban kekal 128 (1.29 peratus).
Setakat jam 12 tengahari hari ini, Malaysia merekodkan jumlah keseluruhan Covid-19 positif sebanyak 9,915 kes dengan 9196 telah didiscaj (92.75 peratus).- MalaysiaGazette