Home Politik Yakubah mahu bela penduduk Kg Boronuon

Yakubah mahu bela penduduk Kg Boronuon

Calon Barisan Nasional (BN) N.16 Karambunai, Datuk Yakubah Khan (kanan) bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Yazid (dua kiri) beramah mesra dengan penduduk, Kadir Mamat (tengah) dan Liun Endal (dua kanan) pada Program Ziarah Kasih Penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Kampung Boronuon, Telipok, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Yakubah Khan menyimpan hasrat tinggi untuk membantu membela nasib penduduk di Kampung Boronuon.

Meninjau rumah-rumah di kampung yang terletak dalam DUN hari ini, Yakubah yang juga merupakan Senator Dewan Negara itu mendapati ada yang hidup dalam keadaan daif dan uzur.

Justeru kata beliau berazam untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu  di DUN berkenaan agar dapat memberikan pembaharuan kepada penduduk di kampung tersebut.

“Daripada tinjauan kita dapat melihat di kawasan ini di kampung khususnya rakyat sangat memerlukan pembelaan. Di mana ada warga di kampung ini yang tidak sihat, uzur yang sangat memerlukan bantuan dari segi kewangan mahupun pembelaan nasib.

“Keadaan rumah kelihatan agak uzur perlu dibaik pulih jadi saya berharap kepada penduduk kampung ini beri peluang kepada saya dan BN menang insyallah kita akan usahakan,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah di kampung itu hari ini.

Dalam pada itu, Yakubah yang juga Timbalan  Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata, dirinya tidak asing di situ dan pengundi cukup mengenalinya sebagai calon BN.

“Saya tidak asing di kampung ini sebab sering keluar masuk di sini kebetulan kubu kuat UMNO di sini,” ujarnya.

Yakubah berhadapan dengan lima lagi calon daripada Nerudan Ludah (Parti Gagasan Rakyat GRS), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu USNO (Ibrahim Linggam, Ahmad Jais Otong (Parti Warisan Sabah), Datuk  Marajoh Unding (Parti Liberal Demokratik LDP) dan seorang calon wanita dari Parti Cinta Sabah iaitu Dayangku Ayesha Humaira Abangku Othman Shah.-MalaysiaGazette