Home Ekonomi Alliance Bank tawar pelbagai pakej bantuan selepas moratorium berakhir

Alliance Bank tawar pelbagai pakej bantuan selepas moratorium berakhir

KUALA LUMPUR- Alliance Bank Malaysia Bhd. (Alliance Bank) menawarkan pelbagai pakej Bantuan Pembayaran bagi meringankan beban kewangan pelanggan apabila moratorium berakhir 30 September ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank tersebut berkata, bantuan berkenaan diperluas kepada individu daripada kumpulan sasar seperti mereka yang kehilangan pekerjaan, kumpulan B40 atau mereka yang bekerja di sektor-sektor terjejas teruk seperti perhotelan, pengendali pelancongan, restoran atau penerbangan.

Bagi individu yang kehilangan pekerjaan atau berada di dalam sektor paling terjejas, Alliance Bank melanjutkan tempoh moratorium sehingga 31 Disember ini.

Manakala bagi mengalami pemotongan gaji, mereka boleh memilih untuk membayar ansuran yang lebih rendah sehingga 12 bulan.

Malah individu-individu yang tidak tergolong dalam kategori yang disebutkan turut diberikan bantuan oleh bank.

Katanya, Alliance Bank bersedia untuk memberi sokongan dari segi penyesuaian pembayaran semula hutang sejajar dengan kemampuan peminjam.

“Keutamaan kami adalah untuk membantu pelanggan menghadapi krisis ini dan bangkit semula selepas pandemik.

“Disebabkan tempoh moratorium akan berakhir tidak lama lagi, kami menasihatkan para pelanggan untuk membuat perancangan awal serta berbincang dengan kami berhubung kedudukan kewangan mereka bagi menentukan pakej terbaik bagi menyelesaikan masalah mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Joel Kornreich.

Selain pinjaman individu, Alliance Bank turut menyediakan pakej bantuan kepada perniagaan yang menghadapi kekurangan pendapatan akibat pandemik serta yang beroperasi dalam sektor paling terjejas.- MalaysiaGazette