KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasarkan seramai 100,000 usahawan dan bakal usahawan akan menggunakan Sistem Ujian Psikometrik Usahawan Nasional atau dikenali sebagai MyNEPT.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sehingga kini, lebih 10,000 telah menggunakan sistem ujian itu yang diperkenalkan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sejak enam bulan lalu.
Jelas beliau, keputusan ujian psikometrik yang dijana menerusi MyNEPT ini adalah amat penting sebagai proses meningkatkan pengetahuan dan menentukan penambahbaikan yang bersesuaian untuk para usahawan.
“Ia juga penting bagi menilai ciri-ciri sifat seseorang individu untuk menjadi usahawan yang lebih baik.
“Sebagai salah satu agensi yang bertindak untuk memantapkan serta memperkukuhkan ekosistem pembangunan keusahawanan negara, inovasi INSKEN ini diharap dapat memberi manfaat kepada semua pihak khususnya para usahawan dan juga penggiat industri selain memberi impak besar kepada pemantapan perniagaan secara keseluruhannya.
“Di dalam konteks MyNEPT yang akan dilancarkan hari ini, isu yang menjadi fokus utama adalah memastikan usahawan tempatan dapat meneruskan survival perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran MyNEPT di Menara Bank Rakyat di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd. Firdaus Azharuddin.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi menambah, inovasi INSKEN menerusi MyNEPT itu bertepatan lebih-lebih lagi dengan norma baharu ini yang memerlukan kita mengetahui kelebihan dan kekurangan kita dalam perniagaan.
Menurutnya, MyNEPT juga merupakan salah satu inovasi bagi mempersiapkan para usahawan untuk berdepan dengan cabaran Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
“ Hal ini kerana, dengan adanya maklumat yang dijana menerusi ujian MyNEPT ini, para usahawan dan bakal usahawan dapat menggunakan maklumat yang ada untuk mengetahui kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri mereka sekaligus membantu mereka untuk memperbaiki strategi perniagaan yang ada.
“Dengan adanya sistem ini, para usahawan mampu untuk mengakses ujian psikometrik ini secara dalam talian walau di mana jua mereka berada dengan menggunakan peranti komputer atau telefon pintar sekaligus memudahkan proses pengambilan ujian tersebut.
“Memadai dengan hanya melayari sesawang MyNEPT di www.mynept.com untuk mendapatkan hasil atau keputusan ujian psikometrik mereka,” katanya.
Sementara itu, Muhd. Firdaus memberitahu, MyNEPT mengambil masa selama enam bulan untuk dibangunkan dengan kos RM200,000.
Jelas beliau, ketika, sistem itu telah digunapakai oleh SME Corp Malaysia melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE). – MalaysiaGazette