Home PRN Sabah Parti Perikatan Nasional telah didaftar pada 7 Ogos – JPPM

Parti Perikatan Nasional telah didaftar pada 7 Ogos – JPPM

Perikatan Nasional

KUALA LUMPUR – Parti Perikatan Nasional (PN) telah pun didaftarkan.

Perkara itu disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut JPPM, parti PN telah didaftarkan melalui pengeluaran sijil pendaftaran PPM-019-14-07082020 yang dilulus dan ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan pada 7 Ogos 2020 di bawah kategori politik selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

Kenyataan JPPM menyusul selepas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan pada hari ini mendakwa “Perikatan Nasional Tiada Rekod Daftar Parti”.

Menurut JPPM, kenyataan media berkenaan adalah tidak benar dan tidak berasas.

Turut mendakwa PN tidak berdaftar adalah Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan serta merta dengan membatalkan pencalonan semua calon yang bertanding di bawah tiket PN.

Artikel berkaitan: PKR cabar Muhyiddin buktikan status pendaftaran PN

Mengulas lanjut, JPPM berkata, sistem di laman sesawang JPPM bagi kelulusan sesebuah pertubuhan dikemaskini secara automatik setiap dua bulan.

Kelulusan Parti Perikatan Nasional hanya akan tertera dalam carian umum laman sesawang JPPM pada awal Oktober 2020, ini memandangkan Parti Perikatan Nasional diluluskan pada Ogos 2020.

Walau bagaimanapun, sekiranya ada carian khusus dalam sistem pertubuhan eROSES ia akan jelas memaparkan Partti PN diluluskan pada tarikh 7 Ogos 2020. Maklumat Parti yang terdapat dalam sistem eROSES hanya boleh diakses oleh Setiausaha Parti tersebut sahaja.

Kenyataan itu menyebut, JPPM merupakan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berfungsi untuk mengawal semua pertubuhan berdaftar di Malaysia melalui penguatkuasaan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

Penguatkuasaan Akta 335 adalah untuk memastikan semua pertubuhan berdaftar bergerak selaras dengan peruntukan perlembagaan pertubuhan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. salam ingatan mesra bagi yang LAYAK mengundi yang BELUM DAFTAR…SILA SEGERA BERTINDAK Di mana2 agensi berkaitan.

Comments are closed.