PUTRAJAYA – Pasangan dan juga anak kepada warganegara tempatan yang tidak mempunyai Pas Lawatan Jangka Panjang boleh memohon kebenaran untuk masuk ke Malaysia.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kemudahan itu selaras dengan keputusan kerajaan seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan pada 25 Ogos lalu.
Bagaimanapun, katanya, mereka diwajibkan untuk terus memohon Pas Lawatan Jangka Panjang setelah selesai proses kuarantin wajib seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pemohon perlu membuat permohonan melalui emel [email protected] dan permohonan ini akan diproses serta dibawa ke mesyuarat Task Force Kemasukan Warga Asing ke Malaysia bagi penilaian sebelum kebenaran masuk diberikan.
“Pemohon yang dibenarkan masuk ke Malaysia bagi kategori ini adalah isteri kepada warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap; suami kepada warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap dan anak kepada warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Khairul Dzaimee, turut dibenarkan adalah suami dan isteri warganegara asing kepada warganegara Malaysia yang telah berkahwin secara sah mengikut undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia dan mendaftarkan perkahwinan mereka dengan pihak berkuasa.
Menurutnya mereka mestilah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau berdaftar Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri
dan berdaftar dengan Kedutaan Malaysia atau Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Luar Negara.
“Bagaimanapun, hanya pemohon dari negara-negara yang dibenarkan masuk sahaja akan diproses dan dipertimbangkan kebenaran masuk.
“Bagi negara-negara yang dikenakan sekatan kebenaran masuk, permohonan kebenaran masuk tidak akan dipertimbangkan sehingga ada satu keputusan baharu menarik balik sekatan kebenaran masuk bagi negara-negara tersebut,” ujarnya.
Beliau menasihatkan orang ramai boleh melayari laman web www.imi.gov.my bagi mendapatkan tatacara dan panduan permohonan masuk bagi kategori ini sebelum menghantar permohonan lengkap ke [email protected].
“Jabatan ini menasihatkan semua pelawat asing dan warganegara Malaysia supaya sentiasa mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman terkini dari agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19.
“Tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan ke atas mereka yang ingkar dan gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” ujarnya.-MalaysiaGazette