KUALA LUMPUR – Pelabur asing membeli sejumlah RM70.91 juta ekuiti di Bursa Malaysia minggu lalu berbanding melupuskan RM589.38 juta pada minggu pertama bulan ini.
Ia merupakan aliran masuk pelabur asing pertama pada bulan September.
MIDF Research berkata, pelabur asing telah membeli sebanyak RM518.47 juta pada minggu kedua pertama bulan ini.
Firma penyelidikan itu berkata, ketika pasaran dibuka pada Isnin lalu, pelabur-pelabur asing melupuskan sebanyak RM72.45 juta dengan pelabur runcit dan institusi masing-masing membeli sebanyak RM68.91 juta dan RM3.54 juta.
Jualan asing berlaku hanya pada hari Isnin dan Selasa, masing-masing pada RM72.45 juta dan RM11.52 juta sebelum momentum belian bermula pada hari Rabu.
“Aliran terbersih adalah pada hari Khamis sebanyak RM94.81 juta dan terkecil pada hari Jumaat sebanyak RM1.33 juta,” kata firma penyelidikan ini.
Pelabur peruncit merupakan pembeli bersih sebanyak RM456.61 juta ekuiti minggu lalu manakala institusi tempatan pula menjual RM527.51 juta dalam tempoh yang sama.
Firma penyelidikan itu berkata, minggu lalu adalah minggu ke-10 berturut-turut belian oleh pelabur runcit sebanyak RM5.03 bilion.
Berbanding institusi tempatan yang menjual sebanyak RM707.40 juta dan pelabur-pelabur asing menjual RM4.02 bilion sejak awal Julai lalu.
Setakat ini, jualan pelabur asing adalah sebanyak RM20.87 bilion.
Manakala pelabur institusi telah membuat belian sebanyak RM10.88 bilion manakala pelabur runcit pula RM9.61 bilion.
Bagi tiga pasaran ASEAN yang dijejaki, Filipina merekodkan aliran keluar paling kecil manakala Indonesia paling besar.
MIDF Research menambah, dalam aspek penyertaan, pelabur-pelabur runcit menyaksikan kenaikan sebanyak 21.28% dalam nilai dagangan purata harian (ADTV) manakala ADTV pelabur asing susut sebanyak 14%. – MalaysiaGazette