SEMPORNA – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri DUN Senallang, Norazman Utoh Nain menyeru pengundi di Semporna agar tidak berfikir dua kali bagi membawa perubahan kepada tampuk pemerintah kerajaan negeri.
Pesaing kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal itu berkata tidak banyak perubahan yang direncana oleh Shafie dan pengundi perlu difahamkan akan perkara ini.
“Kamu sendiri boleh nampak perubahan yang berlaku di Semporna setakat ini.
“Masyarakat mempersoalkan mengapa semasa beliau memegang jawatan yang begitu penting tidak banyak perubahan positif yang berlaku di Semporna.
“Jadi kita bukan mainkan isu tapi kita bawa isu ini untuk difahami oleh masyarakat terutama pengundi di DUN Senallang ini supaya berani dan tidak berfikir dua kali untuk melakukan perubahan,” katanya kepada media selepas program Bicara Mesra calon DUN Senallang, di Markas Utama PN Senallang, Kg. Sinallang, Semporna, hari ini.
Hadir sama calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Daud Tampokong.
Dalam pada itu, Norazam berkata selepas proses penamaan pada Sabtu lalu, pihaknya mula mendekati ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum di sekitar DUN Senallang.
Katanya, sudah 50 peratus ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum didekati beliau sepanjang tiga hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Ada di kalangan ketua kaum ini kita jemput untuk berjumpa secara peribadi seorang demi seorang.
“Ini penting untuk dilakukan disebabkan budaya di Semporna ini di mana keputusan dalam memilih calon ini diputuskan oleh ketua kaum. Jadi anak-anak, isteri dan keluarga terdekat akan membuat pilihan berpandukan saranan yang diberikan oleh ketua kaum dan ketua masyarakat.
“Setakat ini kita sudah berjaya berjumpa dengan lebih 50 peratus ketua kaum yang berada di DUN Senallang dan selepas ini kempen kita akan berubah sedikit kita akan mula masuk ke 11 PDM,” katanya lagi.
Sabtu lalu, Shafie yang mempertahan kerusi DUN Senallang pada PRN kali ini berdepan empat lawan, termasuk anak buahnya sendiri.
Kali ini Ahli Parlimen Semporna itu berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Norazman Utoh Nain, yang juga anak buahnya, serta Datuk Pangeran Ahmad Datu Ali Alam dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) dan Madjalis Lais (Parti Cinta Sabah). – MalaysiaGazette