Home Utama Sultan Selangor berkenan beli Kasut Emas Khalid Jamlus

Sultan Selangor berkenan beli Kasut Emas Khalid Jamlus

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan membeli kasut emas Khalid Jamlus.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli Kasut Emas milik bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus.

Menurut Istana Selangor, pembelian kasut itu pada nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dalam satu majlis penyerahan ringkas berlangsung di Istana Alam Shah, Klang, hari ini.

“DYMM Tuanku berkenan trofi Kasut Emas yang dimenangi Khalid Jamlus pada tahun 2002 itu diletakkan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor yang terletak di pekarangan Istana Alam Shah,” kata Istana Selangor dalam hantaran terbaru di Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan bahawa bekas penyerang kebangsaan itu menjual kasut emas yang dimenangi 18 tahun lalu atas faktor kewangan selepas tiga tahun tiada pekerjaan.

Khalid merangkul anugerah kasut emas selepas meledak 17 gol yang turut berjaya membantu Perak muncul juara Liga Perdana 1 pada musim 2002.

Selain Kasut Emas, Khalid turut membuat lelongan pelbagai barangan peribadi termasuk poster, jersi serta medal yang dimenangi sepanjang kariernya. – MalaysiaGazette