KUALA LUMPUR – Tiga peniaga terpaksa berputih mata apabila warung milik mereka musnah dalam kebakaran di Jalan 5/91A, Taman Shamelin Perkasa, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian pukul 5.59 pagi.
Seramai 36 anggota dari Balai Bomba Pudu, Bandar Tun Razak dan Hang Tuah digegaskan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.
“Setibanya jentera dilokasi kejadian pada jam 6.10 pagi pihak kami dapati kebakaran melibatkan tiga buah warung.
“Keluasan kebakaran berukuran 25×15 kaki persegi dan ketiga-tiga warung terbabit terbakar hampir 80 peratus,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, kebakaran dapat dikawal pada pukul 6.24 pagi dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 8.20 pagi.
Katanya, setakat ini bomba masih lagi menjalanakan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian. – MalaysiaGazette