Home Seni Hidup Angkat martabat puisi sebagai khazanah seni, budaya – Nancy

Angkat martabat puisi sebagai khazanah seni, budaya – Nancy

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri beramah mesra dengan para hadirin yang hadir pada Malam Puisi Perdana Hari Malaysia Bersama Kerabat MPM 2020 di Wisma MPM, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Rakyat negara ini diseru melaksanakan tanggungjawab memartabatkan puisi sebagai salah satu khazanah seni dan budaya kebangsaan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri nancy Shukri berkata, ini kerana puisi dapat menzahirkan penceritaan berkaitan pelancongan dan kebudayaan.

Jelas beliau, puisi juga mampu menjadi salah satu medium penyampaian untuk memasarkan bidang tersebut di negara ini.

”Sepanjang 57 tahun penubuhan Malaysia, kita telah berjaya menjadikan negara ini yang makmur, bersatu padu, aman dan maju.

“Sesungguh kisah perjalanan Malaysia yang penuh warna-warna ini indah untuk diterjemahkan dalam seni puisi.

“Saya berharap usaha murni melalui program puisi dapat diteruskan pada masa akan datang dengan tema kebudayaan dan kesenian yang relevan bertujuan mengangkat martabat agung seni, budaya dan warisan pelbagai kaum dan etnik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Puisi Perdana Majlis Perundingan Melayu (MPM) sempena sambutan Bulan Merdeka dan Hari Malaysia di Wisma MPM malam ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, kementerian melalui agensi-agensinya secara konsisten akan terus mewujudkan pembangunan modal insan penggiat industri menerusi perlaksanaan aktiviti bimbingan bidang seni dan budaya kepada generasi muda di peringkat sekolah dan pengajian tinggi.

Jelasnya, antara program tersebut adalah Program Bimbingan Seni Budaya dan program-program berkaitan pemuliharaan seni budaya dan warisan.

“Contoh terbaik adalah program Panggung Seni Tradisional yang mengangkat kembali seni persembahan tradisi pelbagai kaum.

“Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara ini dilaksanakan secara virtual pada tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette