Home Politik Isu pendaftaran PN: Armada desak pemimpin PKR mohon maaf

Isu pendaftaran PN: Armada desak pemimpin PKR mohon maaf

Ketua Biro Tugas-Tugas Khas Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Hariz Faisal Ismail (empat kiri) menunjukan laporan polis yang telah dibuat terhadap pemimpin PKR kerana menyebarkan propaganda di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. foto ISKANDAR HAMIDI, 15 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) diberi tempoh tujuh hari untuk memohon maaf secara terbuka kepada Perikatan Nasional (PN) kerana mempersoalkan pendaftaran gabungan itu.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Hariz Faisal Ismail menegaskan, tindakan mereka cuba mengganggu keharmonian rakyat dan mencemar imej PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Kami berharap mereka mengeluarkan permohonan maaf kepada PN dan parti-parti yang bernaung di bawahnya. Kami menganggap ini cuba untuk mengganggu-gugat keharmonian rakyat dan menjejaskan imej dan kepercayaan pengundi dalam PRN Sabah.

“Mereka memberi gambaran tidak baik kepada PN apatah lagi dalam proses berkempen ketika ini,” katanya pada sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini.

Terdahulu Hariz Faisal membuat laporan polis terhadap dua pemimpin PKR, iaitu Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman kerana menyebarkan propaganda kononnya PN masih tidak didaftarkan lagi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Kedua-dua pemimpin PKR juga mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat kesahihan pendaftaran PN dan sekiranya belum berdaftar, penyertaan mereka PRN Sabah perlu dibatalkan serta-merta.

Dalam pada itu, menurut Hariz Faisal, dua pemimpin PKR ini cuba memberi gambaran bahawa PN adalah parti politik haram dan cuba menyertai PRN Sabah melalui saluran yang tidak sah di sisi undang-undang.

“Mereka berniat memberi gambaran bahawa parti PN dan SPR berkomplot melanggar undang-undang negara.

“Kenyataan ini boleh menimbulkan ketidakpercayaan rakyat terhadap kerajaan dan juga agensi kerajaan seperti RoS dan SPR,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan kedua-dua pemimpin PKR berniat jahat menyebarkan berita palsu bagi mempengaruhi rakyat dalam PRN Sabah.

“Kenyataan kedua-dua pemimpin ini berniat untuk mencemarkan imej sistem demokrasi di Malaysia.

“Saya mewakili seluruh ahli dan kepimpinan Armada Malaysia mahu pihak polis menyiasat perkara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette