Home Nasional Selangor peruntuk RM3 juta, kekalkan elaun kakitangan masjid

Selangor peruntuk RM3 juta, kekalkan elaun kakitangan masjid

Kerajaan Selangor memperuntuk sebanyak RM3 juta untuk menampung elaun kakitangan masjid dan surau di negeri itu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor memperuntuk sebanyak RM3 juta untuk menampung elaun kakitangan masjid dan surau di negeri itu.

Langkah tersebut adalah bagi mengekalkan elaun bulanan sebelum pelarasan yang akan dibuat oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tempoh Mei hingga Disember, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil keputusan agar kadar elaun petugas masjid dan surau dikembalikan semula kepada kadar sebelum ini.

“Kerajaan Negeri akan menanggung pelarasan tersebut dengan implikasi kewangan berjumlah RM3 juta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Amiruddin menjelaskan, akibat Covid-19, kutipan zakat turun mendadak hampir 20 peratus dan golongan asnaf makin terhimpit dengan wabak itu.

“Saya difahamkan elaun tambahan petugas masjid ini yang dibayar bermula tahun 2003 adalah daripada hasil kutipan zakat oleh LZS setiap tahun,” ujarnya.

Untuk rekod, elaun bulanan yang dikekalkan adalah, bilal satu sebanyak RM290, bilal dua (RM200), nazir (RM250), siak satu (RM240) manakala siak dua (RM150).

Sementara timbalan nazir, setiausaha dan bendahari mendapat elaun sebanyak RM100. – MalaysiaGazette