Home Politik Calon BN DUN Balung sudah temui 40 peratus pengundi

Calon BN DUN Balung sudah temui 40 peratus pengundi

Calon Barisan Nasional (BN) DUN N.67 Balung, Hamild @ Hamid Awang bercakap kepada media selepas hadir ke Program Ramah Mesra Presiden UMNO bersama pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di PPR Balung, DUN Balung, Tawau. foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Baru memasuki hari kelima kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Hamild@Hamid Awang dilihat mempamerkan gerak kerja kempen sistematik.

Beliau dikatakan sudah bertemu hampir 40 peratus pengundi.

Ketika ditemui pada sesi kempen pagi ini, Hamid dilihat gembira dengan sokongan dan maklum balas positif diterima sehingga hari ini.

“Setakat ini sudah hampir 40 peratus dan kita akan teruskan berusaha sehingga ke hari pembuangan undi nanti. Kita percaya kita boleh mencapai matlamat 100 peratus berjumpa dengan pengundi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam pada itu, Hamild akan menggunakan strategi bersemuka dengan pengundi dan juga media sosial.

Katanya, kedua-dua pendekatan itu penting dalam mendekati pengundi.

Ini kerana terdapat pengundi pelbagai lapisan masyarakat di kawasan itu yang perlu didekati.

“Kita turun sendiri ke akar umbi dan juga menggunakan media sosial. Kita sudah empat hari berkempen dan kita harap dapat capai matlamat (untuk berjumpa semua pengundi),” katanya lagi.

Kerusi N67 Balung menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Hamild, Abdul Hamid Damang dari Parti Cina Sabah (PCS), Andi Rus Diana Andi Paladjareng (Warisan), Labosa @ Ghazali Jakilan daripada Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Abu Bakar Jambuan @ Omar daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Ariffin Kassim Ibong daripada Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), dan Cyril Aloysius daripada Parti Liberal Demokratik (LDP). – MaMalaysiaGazette