SIBU – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sudah mengenal pasti beberapa buah koperasi tempatan yang berkemampuan membeli saham syarikat-syarikat berdaya saing dan maju yang tersenarai di Bursa Malaysia Securities.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini berkata koperasi-koperasi ini dilihat berkebolehan untuk menerajui pembelian saham dalam syarikat penyenaraian awam yang sekali gus dapat meningkatkan pendapatan mereka.
“Cuma, kita hanya perlu mencari bagaimana (kaedah sesuai) untuk membolehkan mereka membeli saham dalam syarikat-syarikat penyenaraian awam di Bursa Malaysia, yang berdaya saing dan maju serta boleh memberi pulangan kepada koperasi,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri sesi interaktif bersama wakil-wakil koperasi dari zon tengah Sarawak di sini.
Beliau berkata penglibatan koperasi dalam pembelian saham syarikat-syarikat awam ini perlu dilaksanakan dengan teliti yang mana SKM akan memainkan peranan mengawal selia koperasi terlibat bagi memastikan aktiviti pembelian ini sejajar dengan objektif penubuhan mereka.
“Tugas SKM adalah menasihati agar koperasi-koperasi ini tidak lari daripada landasan (penubuhan mereka) dan hilang tujuan … takut juga mereka terlibat dalam tempat (syarikat) yang salah dan tidak mendatangkan hasil,” kata beliau.
Menerusi penglibatan dalam syarikat-syarikat awam, koperasi terbabit mampu meningkatkan sumbangan mereka kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh 10 tahun akan datang, jelas Wan Junaidi.
Sementara itu, Wan Junaidi berkata SKM buat masa ini belum merancang untuk mewajibkan semua koperasi melantik hanya pengurus yang memiliki kelulusan akademik dalam bidang koperasi sejajar dengan cadangan menaiktaraf Institut Koperasi Malaysia menjadi sebuah kolej universiti.
Beliau berkata peraturan sedia ada di bawah Akta Koperasi 1993 sudah mewajibkan mana-mana lembaga pengelola koperasi untuk menjalani kursus-kursus tertentu dalam menguruskan koperasi mereka.
Menurut Wan Junaidi, cadangan menaiktaraf institut ini setakat ini adalah hanya untuk menyediakan sumber manusia dengan kelayakan yang bersesuaian untuk menyuntik dinamik dan pemikiran baharu dalam pengurusan koperasi.
“Perundangan (mewajibkan pengurus berkelulusan koperasi) itu mungkin kita akan fikirkan kemudian, (tapi) kalau ada ahli lembaga (koperasi) mempunyai kecenderungan hendak memanjangkan (pendidikan) sampai ke universiti, apa salahnya,” katanya.
Seramai 120 orang ahli mewakili 37 buah koperasi dari sini dan daerah di sekitarnya menghadiri sesi interaktif selama sehari itu yang dianjurkan oleh SKM dengan tujuan mendapatkan maklumbalas koperator bagi meningkatkan dan memantapkan lagi pembangunan koperasi mereka.- BERNAMA