Home Ekonomi Felda, Shopee mahu lahirkan 1,000 jutawan e-dagang dalam masa 5 tahun

Felda, Shopee mahu lahirkan 1,000 jutawan e-dagang dalam masa 5 tahun

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bersama platform e-dagang Shopee memeterai perjanjian ekslusif bertujuan untuk mewujudkan aliran pendapatan mampan dan menjana ekonomi warga Felda.

Kursus latih dan didik daripada Shopee itu dapat mempersediakan usahawan Felda untuk berdaya saing di platform e-dagang dan dijangka mampu menghasilkan 1,000 usahawan jutawan menjelang 2025.

Merupakan salah satu inisiatif Program Pembangunan Peneroka (PPP) dan SAWARI Felda, kerjasama tersebut membolehkan warga Felda mendapat latihan e-dagang secara percuma daripada Shopee.

Kerjasama itu juga bertujuan untuk memberikan ilmu pemasaran digital, kemahiran fotografi serta pelbagai lagi amalan terbaik menggunakan e-dagang kepada para usahawan.

“Warga usahawan Felda juga berpeluang mengetengahkan warisan tempatan Felda melalui pemasaran produk seperti hasil kraf tangan dan juga produk-produk tanaman, ternakan, akuakultur dan makanan yang lain di Shopee.

“Kerjasama eksklusif ini juga akan membantu warga usahawan Felda dalam mengatasi kesukaran berniaga semasa penularan wabak Covid-19 dengan memanfaatkan kelebihan menjual menerusi Shopee, di mana para pelanggan tidak perlu keluar dari rumah untuk melakukan pembelian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shopee juga akan berkerjasama dengan Felda untuk melancarkan kempen yang akan mengetengahkan produk keluaran Felda serta produk usahawannya seperti produk PPP dan SAWARI.

Bagi menjayakan kempen ini, Shopee akan mencipta laman mikro khas untuk memaparkan hasil produk usahawan warga Felda.

Kempen itu dapat diakses dengan mudah melalui portal dalam aplikasi ‘Buy Malaysia’ di Shopee, secara langsung meningkatkan keterlihatan kedai dan produk usahawan warga Felda- MalaysiaGazette