Home Nasional Sabah penerima terbesar inisiatif infra JENDELA

Sabah penerima terbesar inisiatif infra JENDELA

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (dua kanan) menyerahkan Pakej Belia kepada penerima, Thre Nor Afiza Sawir (kiri) pada Majlis Pelancaran Gerbang Sabah di Magellan Sutera Hotel, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) kini dilebarkan ke Sabah  bagi memantapkan perkhidmatan jalur lebar di negeri itu,  menerusi pelancaran Gerbang Sabah di Stesen Kabel Dasar Laut Tanjung Aru malam ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  perkhidmatan internet kini menjadi utiliti asas setaraf dengan bekalan elektrik dan air yang menjadi kayu pengukur pembangunan dan kemajuan sesuatu kawasan dengan Sabah merupakan penerima terbesar projek tersebut.

Beliau berkata,  JENDELA di negeri Sabah dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM2.45 bilion.

“Sabah adalah penerima terbesar projek-projek pembangunan infrastruktur di bawah JENDELA. Ini bakal menjadikan kemudahan jalur lebar untuk seluruh rakyat Sabah setanding dengan mana-mana negeri di Malaysia.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diberi tanggungjawab untuk memacu pelaksanaan JENDELA,” katanya semasa merasmikan Pelancaran Gerbang Sabah di Kota Kinabalu pada Khamis. 

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Tambah Muhyiddin, menerusi inisiatif ini  rakyat Sabah dijangkakan mendapat capaian jalur lebar yang lebih meluas bermula pada penghujung tahun ini sehinggalah tahun 2022.

Jelasnya lagi menerusi internet, sesiapa sahaja boleh mengoperasikan perniagaan mereka di mana-mana sahaja.

“Bahkan ada yang berniaga tanpa memiliki barang sendiri, iaitu melalui kaedah dropship. Inilah contoh potensi kemajuan yang dibawa oleh kemudahan jalur lebar yang disediakan oleh Kerajaan.”katanya lagi.

JENDELA  bagi negeri Sabah mensasarkan sebanyak 251,166 premis akan dilengkapi dengan gentian optik.

Manakala sebanyak 382 menara telekomunikasi baru akan dibina di negeri itu dan penaiktarafan 924 stesen komunikasi sedia ada. – MalaysiaGazette