KUALA LUMPUR- Tenaga Nasional Berhad (TNB), menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB International Sdn Bhd (TNBI) membeli pegangan dalam Vortex Solar Investment S.a.r.l (Vortex Solar) daripada Beaufort Investment S.a.r.l bernilai GBP11 juta (RM59.06 juta).
Beaufort Investments merupakan anak syarikat EFG Hermes Holding SAE.
Syarikat utiliti itu dalam kenyataannya berkata, urusniaga tersebut telah meningkatkan pegangan ekuiti TNB di dalam Vortex Solar kepada 55 peratus sekali gus menjadikan TNB sebagai pemegang saham majoriti dalam syarikat tersebut.
Vortex Solar adalah satu daripada platform solar terbesar di United Kingdom dengan skim subsidi Renewables Obligation Certificate (ROC).
Portfolio itu merangkumi 24 ladang solar beroperasi dengan kapasiti keseluruhan 365MW yang konsisten menghasilkan pulangan kukuh sepanjang dua tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan urusniaga itu penting dalam komitmen TNB untuk mengurangkan jejak karbonnya dan mengembangkan portfolio perniagaan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE), sejajar dengan aspirasi transisi tenaga untuk menjadi peneraju kepada penyelesaian tenaga mampan di dalam dan luar negara.
“Dengan pemerolehan ini, TNB kini menguasai pegangan majoriti Vortex Solar, sekaligus memperkukuhkan jejak perniagaan Kumpulan dalam bidang RE di Eropah selepas pemilikan penuh Tenaga Wind Ventures UK Ltd (TWV), portfolio Feed-in-Tariff (FiT) angin terbesar di UK.
“Ia juga adalah satu daripada strategi untuk mengembangkan perniagaan RE TNB di UK dan Eropah, malah ia adalah satu langkah terancang untuk menguasai aset-aset RE berprestasi tinggi, bermula dengan penguasaan pegangan 100 peratus TWV pada awal tahun ini,” katanya.
Dengan memanfaatkan keupayaan sedia ada TNB dan penguasaannya dalam TWV dan Vortex Solar, Amir berkata syarikat itu akan mengembangkan perniagaannya di Eropah sejajar dengan strategi pertumbuhan RE diperingkat antarabangsa, melalui penstrukturan semula Vortex Solar dan TWV untuk menjadi Syarikat Aset Tenaga Boleh Diperbaharui yang bertujuan memiliki, menjalankan operasi dan mengurus portfolio aset-aset RE di UK dan Eropah.
Meskipun berdepan dengan keadaan tidak menentu akibat wabak COVID-19, prestasi kewangan dan operasi Vortex Solar dan TWV adalah di luar jangkaan, ujarnya.
Penguasaan Vortex Solar menyumbang secara positif kepada objektif kewangan dan strategik TNB. Portfolio itu mencatatkan EBITDA GBP39.1 juta pada 2019 dan berkembang daripada margin EBITDA 80 peratus pada 2018 kepada 84 peratus pada 2019.
Pemerolehan ini juga dijangka menyumbang secara positif terhadap keuntungan bersih kumpulannya.- MalaysiaGazette