Home Sukan Cadangan bina litar basikal akan dibincang – Reezal Merican

Cadangan bina litar basikal akan dibincang – Reezal Merican

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kanan) diiringi Pengerusi Lembaga ISN, Datuk Dr Rahmat Mohamad (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli pada Perasmian Institut Sukan Negara (ISN) Inspire di ISN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung cadangan pembinaan litar basikal bagi menjaga keselamatan para penunggangnya.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, komuniti berbasikal kini semakin besar dan mendapat tempat bukan sahaja dalam kalangan orang biasa malah, turut diminati pemimpin-pemimpin negara, ahli-ahli sukan dan golongan selebriti.

Katanya, isu keselamatan terhadap peminat berbasikal adalah penting bukan sahaja kepada diri mereka sebaliknya kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Saya fikir keselamatan mereka yang berbasikal itu perlu diberi keutamaan dan begitu juga kepada pengguna-pengguna jalan raya lain.

“Jadi, dalam masa terdekat ini saya akan berjumpa dengan menteri (Wee Ka Siong) untuk cari kaedah dan mungkin kita akan ada libat urus dengan komuniti berbasikal untuk mendapatkan pandangan-pandangan.

“Dengan cara itu mungkin kita boleh cari jalan yang lebih baik agar dalam kalangan kita tidak ada yang mengekang aktiviti berbasikal dilakukan secara giat dan aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran ISN Inspire di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil di sini hari ini.

Reezal Merican berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang yang mencadangkan supaya litar basikal dibina di negara ini sebagai salah satu langkah menjaga keselamatan penunggang basikal.

Menurut Azizulhasni dengan terbinanya litar itu, ia membolehkan peminat sukan berbasikal berkayuh tanpa mengganggu atau diganggu kenderaan lain.

Azizul mengemukakan cadangan itu menerusi hantaran di Facebook miliknya yang antara lain turut mencadangkan agar pihak berkuatkuasa turut berbincang dengan pelbagai pihak supaya satu polisi atau peraturan baharu diwujudkan bagi mereka yang meminati sukan berbasikal.

Dalam perkembangan sama Reezal Merican berkata, sama ada cadangan membina litar itu perlu, ia bergantung kepada rumusan hasil daripada perbincangan dengan semua pihak yang terlibat. – MalaysiaGazette