SEMPORNA – Setelah beberapa calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bimbang akan penurunan jumlah undi pada pilihan raya kali ini ekoran Covid-19, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang, Norazman Utoh Nain turut menyuarakan kebimbangan sama.
Malah beliau menjangkakan penurunan antara 10 hingga 15 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab disebabkan penularan kes Covid-19 di Sabah.
“Kalau kita lihat kepada rekod pengundi yang turun pada PRU14 lepas, dan beberapa siri PRU yang lepas kita dapati bilangan pengundi ini berada dalam lingkungan 70 hingga 80 peratus sahaja.
“Tetapi disebabkan oleh Covid-19, saya jangkakan peratusan yang turun mengundi ini akan turun, mungkin kepada antara 60 hingga 65 peratus sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas mengadakan program ramah mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pokas, Semporna, hari ini.
Pencabar kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal itu berkata, sekiranya kes positif Covid-19 terus meningkat, kerajaan digesa mengetatkan langkah-langkah keselamatan di kawasan yang menerima kes positif Covid-19 yang tinggi.
“Kalau kes jangkitan ini terus meningkat saya pasti kerajaan perlu ambil langkah-langkah keselamatan untuk memastikan keselamatan penduduk di daerah Semporna ini walaupun kita sedang menghadapi PRN negeri ke-16 ini,” gesa beliau lagi.
Sebelum ini, calon DUN Kunak, Norazlina Arif melahirkan kebimbangan akan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan yang ditandingi beliau.
Seorang lagi calon daripada PN bagi DUN Bugaya, Daud Tampakong berkata, beliau percaya penularan Covid-19 di sini akan memberi kesan kepada jumlah pengundi nanti.
Menurut beliau, kebimbangan itu disebabkan wujudnya beberapa kluster di sini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini berkata, terdapat 398 kes positif Covid-19 di Tawau, 151 kes positif di Lahad Datu, dan satu kes di Sandakan.
Sabah terus menyumbang sebahagian besar kes penularan tempatan hari ini dengan 91 kes dengan satu kematian baru. – MalaysiaGazette