MOSCOW – Kelab Manchester United tidak akan dibeli oleh jutawan Rusia, Mikhail Prokhorov walaupun laporan mengatakan sebaliknya.
Bekas pemilik kelab bola keranjang Brooklyn Nets itu dikaitkan dengan proses pemilikan kelab ketiga paling bernilai di dunia yang dipegang keluarga Glazers.
Hampir setengah bilion peminat Red Devils di serata dunia mengharapkan kelab itu diambil alih daripada Glazers selepas gagal membawa kejayaan sejak tujuh musim lalu.
Pada mulanya Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman dilaporkan mahu membeli kelab berkenaan sebelum mengalih perhatian kepada kelab Newcastle United.
United yang kini ditetapkan pada harga £3 bilion, dikaitkan dengan jutawan Rusia, menurut Forbes.
Prokhorov dikatakan memiliki kekayaan berjumlah £8.7 bilion.
Laporan di Rusia juga mendakwa ahli perniagaan itu bersedia berunding dengan Red Devils.
Namun Prokhorov, 55, menafikan segala laporan itu.
Prokhorov yang pernah memiliki pasukan bola keranjang telah menjual pegangannya sebanyak 49 peratus dalam francais NBA Brooklyn Nets dengan harga 2.3 bilion dolar AS kepada hartawan China, Joseph Tsai.
Glazers memiliki kelab Red Devils pada 2003 pada harga £850 juta menerusi pinjaman bank.
Kelab itu kini bernilai £3 bilion.
Mana-mana pelabur berpotensi menganggap sukar untuk membiayai pengambilalihan kelab tersebut ketika ini.-MalaysiaGazette