Home Nasional Kontraktor KVDT2 saman kerajaan, Ka Siong

Kontraktor KVDT2 saman kerajaan, Ka Siong

Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kontraktor projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) telah memfailkan saman ke atas kerajaan dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wong Ka Siong berhubung keputusan menamatkan kontrak projek berkenaan.

Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd yang diwakili oleh firma Zul Rafique & Partners telah mengemukakan writ saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 September lalu.

Dalam tindakan undang-undang itu, firma tersebut menamakan kerajaan Malaysia dan Ka Siong sebagai defendan pertama dan kedua.

“Satu-satunya kesimpulan logik semula jadi adalah defendan kedua (Ka Sion) bertindak dengan niat buruk atau dengan motif yang tidak betul,” kata syarikat itu.

Dhaya Maju-LTAT berpendapat Ka Siong harus bertanggungjawab atas kesalahan penyalahgunaan di pejabat awam kerana tindakannya.

Sebelum ini, kontraktor berkenaan berkata, kerajaan tidak ada asas untuk menamatkan kontrak KVDT 2 yang sedang dilaksanakan oleh syarikat kerjasama itu.

Dhaya Maju LTAT adalah syarikat kerjasama menerusi DhayaMaju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah meraih kontrak pemulihan KVDT 2 iaitu 10 bulan selepas ia dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohamed Razeek Hussain berkata, syarikat kerjasama itu berupaya melaksanakan projek berkenaan, oleh sebab itu ia mendapat kontrak semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan PH pada tahun 2018 dan 2019.

Pada awal bulan ini, Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan telah melakukan kajian menyeluruh pada segenap sudut sebelum membuat pengumuman untuk melaksanakan KVDT 2 secara tender terbuka.

Ka Siong berkata, keputusan itu dibuat oleh kerajaan selepas siasatan mendapati projek bernilai RM4.475 bilion itu terlalu mahal walaupun terdapat pengurangan kos oleh PH sebelum ini. – MalaysiaGazette