TAWAU – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) yang memberikan kepercayaan kepada calon anak muda.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata 45 peratus calon anak muda yang diperkenalkan oleh BN menunjukkan kepimpinan yakin calon-calon yang diketengahkan mampu untuk memberikan kerusi kepada parti itu dalam merampas kerajaan negeri Sabah.
“Yang paling penting adalah kawasan yang diberikan adalah kawasan yang boleh menang. Saya yakin di DUN Tanjung Batu ini kawasan yang kita pernah menang dahulu dan diletakkan calon Pemuda.
“Itu satu contoh yang terbaik. Kalau dulu orang kata secara sinis bahawa letak kawasan yang kemalangan atau kawasan yang tidak boleh menang. Ini bukan dan ini kawasan yang kita boleh menang.
“Paling penting di peringkat Pemuda kita mencalonkan calon-calon yang berwibawa,” katanya ketika ditemui ketika program Ceramah Umum Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di DUN Tanjung Batu, Tawau, malam tadi.
Sebelum ini, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, seramai 29 calon BN bakal bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sabah adalah muka baharu.
Katanya, semua calon yang dipilih adalah yang terbaik serta diyakini boleh memenangi kerusi di kawasan masing-masing.
Jelas Dr Asyraf lagi, langkah mengetengahkan calon muda dan muka baharu itu dilihat mampu untuk mengubah lanskap politik tanah air yang dikuasai oleh satu lapisan masyarakat sahaja.
“Agenda orang muda untuk Sabah itu penting untuk mengubah lanskap politik hari ini yang dulunya hanya dikuasai oleh Warlord.
“Hari ini kita nak budaya warlord kita hakiskan dan yang tampil adalah wajah baharu yang berintegriti dan penuh amanah sebaik mungkin untuk rakyat,” katanya lagi.
Untuk rekod, UMNO mengetengahkan empat calon muda termasuk calon DUN Tanjung Batu, Andi Muhammad Surady Bandy.
Malah Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang mewakili BN turut mempertaruhkan calon paling muda, Yillson Yanggun, 23, untuk kerusi DUN Tandek di Parlimen Kota Marudu.
BN sebelum ini mengumumkan akan bertanding 31 kerusi daripada 73 kerusi DUN termasuk 13 kerusi baharu yang diwujudkan berikutan proses persempadanan semula. – MalaysiaGazette