KUALA LUMPUR – Perbelanjaan pelancongan domestik melonjak RM92.6 bilion dengan merekodkan pertumbuhan 12 peratus pada tahun lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin buat pertama kalinya sejak penyusunan Akaun Satelit Pelancongan pada tahun 2005, sumbangan perbelanjaan pelancongan domestik telah melebihi perbelanjaan kemasukan pelancongan pada tahun 2019.
Sumbangan perbelanjaan pelancongan domestik terhadap penggunaan keseluruhan pelancongan telah meningkat kepada 50.9 peratus daripada 48.6 peratus pada tahun sebelumnya.
Prestasi yang baik ini disokong oleh aktiviti membeli-belah yang merupakan komponen terbesar dengan sumbangan 42.1 peratus, diikuti oleh pembelian bahan api kenderaan (16.7%) dan makanan & minuman (15.9%).
”Perkembangan ini menggambarkan rakyat Malaysia semakin gemar melancong di dalam negara serta membuat perbelanjaan terhadap produk pelancongan tempatan.
”Covid-19 yang melanda dunia yang menyebabkan penutupan pintu sempadan antarabangsa oleh kerajaan bagi semua aktiviti pelancongan,” katanya.
Sementara itu, perbelanjaan kemasukan pelancongan telah meningkat kepada RM89.6 bilion (2018: RM87.7 bilion) dengan pertumbuhan sebanyak 2.0 peratus
berbanding 2.3 peratus pada tahun 2018, adalah selaras dengan peningkatan purata tempoh menginap di kalangan pelancong asing yang meningkat kepada 7.4 malam berbanding 6.5 malam pada tahun 2018.
Sumbangan sektor pelancongan yang diukur melalui Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP) dengan merekodkan sumbangan 15.9 peratus berbanding 15.2 peratus pada tahun 2018, katanya.
NDKIP telah mencecah nilai RM240.2 bilion berbanding RM220.4 bilion pada tahun sebelumnya dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak
9.0 peratus (2018: 9.8%).
Sumbangan terbesar didominasi oleh perdagangan runcit (46.2%), diikuti oleh makanan & minuman (18.0%) dan perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan negara (12.3%).
Ketiga-tiga komponen perbelanjaan tersebut telah menyumbang sebanyak 76.5 peratus kepada keseluruhan NDKIP.
Dalam kenyataan sama, beliau turut melaporkan bahawa guna tenaga dalam industri pelancongan pada tahun 2019 bertumbuh kepada 3.6 juta orang (2018: 3.5 juta) yang menyumbang 23.6 peratus (2018: 23.5%) kepada jumlah guna tenaga.
Sebahagian besar daripada guna tenaga dalam industri pelancongan adalah diterajui oleh perkhidmatan penyediaan makanan & minuman dan perdagangan runcit dengan masing-masing menyumbang 34.7 peratus dan 32.5 peratus.
Secara kumulatif, kedua-dua subsektor tersebut menyumbang 67.2 peratus kepada jumlah guna tenaga.
Mengulas mengenai situasi semasa wabak Covid-19, Mohd Uzir juga memaklumkan, aktiviti pelancongan inbound akan terhenti akibat penutupan sempadan antarabangsa dan senario tersebut untuk menggalakkan dan memanfaatkan aktiviti pelancongan domestik bagi meningkatkan sumbangan pelancongan kepada ekonomi serta mengekalkan trend pekerjaan di sektor ini untuk tahun 2020. – MalaysiaGazette