PAPAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ingin ‘melompat’ ke parti lain dibolehkan berbuat demikian namun secara automatik akan kehilangan kerusi sebelum berakhir tempoh penggal.
Itu antara inisiatif Parti Cinta Sabah (PCS) untuk menghalang budaya katak dalam kalangan pemimpinnya yang diletakkan pada teras pertama manifesto ‘Aku Janji’ parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Calon PCS kerusi Pantai Manis, Datuk Fauzi Ibrahim berkata, inisiatif yang dikenali Recall Petition itu adalah jaminan bagi membendung budaya lompat parti yang menyebabkan rakyat hilang kepercayaan.
Menurutnya, aku janji PCS itumenepati kehendak rakyat ketika ramai mencari platform yang sesuai untuk menterjemah undi mereka dan pada masa sama inginkan pemimpin yang tepat sebagai wakil rakyat.
“Tepat dan mampu membendung budaya lompat parti hingga ramai rakyat hilang kepercayaan dengan sistem politik kita sedangkan pilihanraya ini penentu kepada masa depan Sabah.
“Berbanding parti lain, hanya PCS memberi jaminan seumpama ini dan sebagai bekas kakitangan awam, saya maklum aku janji ini jika diingkari, kami boleh disaman oleh rakyat,” katanya selepas Program Ramah Mesra Bersama Penduduk Pantai Manis.
Aku janji parti itu membabitkan tujuh teras utama yang merangkumi kepentingan negeri serta rakyat dalam semua aspek.
Fauzi berkata, antara aku janji yang memberi impak besar kepada rakyat adalah jaminan PCS mewujudkan Kementerian Industri Minyak dan Gas Sabah sejajar dengan usaha menuntut hak Sabah.
“Daripada kementerian ini, selain dapat membangunkan sumber asli kita seperti minyak dan gas yang ditadbir sendiri oleh orang kita, usaha ini juga dapat meningkatkan ekonomi negeri serta rakyat amnya.
“Terlalu banyak manfaat yang diperolehi oleh kita sebagai rakyat Sabah yang tidak mampu diberikan sama ada kerajaan terdahulu atau pun parti-parti lain yang turut bertanding pada PRN kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette