BONGAWAN – Isu calon anak tempatan mungkin relevan pada masa dulu, tetapi sekarang semuanya sudah berubah.
Oleh itu, calon anak tempatan sewajarnya tidak dijadikan ukuran oleh pengundi ongawan sebaliknya ia perlu dilihat dari pelbagai sudut khususnya dari aspek kemampuan setiap calon parti.
Ketua Wanita PCS Kimanis, Siti Rukiah Ahmad berkata, beliau bukan mahu mengangkat presiden parti itu, sebaliknya menegaskan Datuk Seri Anifah Aman bukanlah calon yang calang-calang orangnya.
“Bongawan bakal mempunyai wakil rakyat yang sudah terbukti dapat membawa banyak manfaat ke kawasan ini malah tugas beliau (Anifah) sebelum ini sebagai Menteri Luar dilihat dapat membawa pelaburan luar masuk ke kawasan ini.
“Paling penting, Bongawan memilih Anifah sebagai wakil rakyat dan pada masa sama PCS mendapat mandat sebagai peneraju kerajaan negeri selepas ini, beliau adalah calon Ketua Menteri kita.
“Bukan saja Sabah, Bongawan bakal menerima limpahan manfaat dalam semua aspek pembangunan melibatkan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial masyarakat di semua peringkat.
“Tiada guna kita ada wakil rakyat anak tempatan kalau tidak mampu membawa apa-apa perubahan serta manfaat untuk kawasan ini,” katanya yang mengulas persaingan empat penjuru di DUN tersebut,
Anifah dicabar penyandang kerusi DUN Bongawan Dr Daud Yusof dari Parti Warisan Sabah (Warisan) selain Ag Syairin dari Barisan Nasional (BN) dan Mohd Azree Abd Ghani dari Parti Liberal Demokratik (LDP).
Tiga daripada calon ini bukan sahaja anak tempatan dan sangat dikenali oleh penduduk sebaliknya mereka juga memiliki pertalian keluarga cukup rapat hubungan bapa dan anak saudara.
DUN ini mempunyai 16,735 pengundi.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Daud memperoleh 6,912 undi menewaskan calon BN Datuk Mohamad Alamin (6,117 undi) dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail (627 undi).
Siti Rukiah berkata, Anifah semasa menjadi wakil rakyat Kimanis sebelum ini sudah membuktikan kemampuan beliau membawa banyak kemajuan di kawasan khususnya Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT).
Jelasnya, SOGT menjadi titik tolak berkembangnya industri minyak dan gas di Sabah termasuk industri hiliran lainnya seperti kilang Sabah Ammonia Urea (Samur) di Sipitang yang merupakan antar projek besar Petronas, sekaligus pekerjaan untuk anak-anak Parlimen Kimanis dalam industri minyak dan gas.
“Malah dalam tempoh pembinaan SOGT, peluang pekerjaan terbuka luas untuk semua warga Parlimen Kimanis termasuk dari kawasan lainnya sekaligus memberi impak besar terhadap ekonomi setempat.
“Bukan itu saja, Anifah turut fokus terhadap pembangunan kemudahan infrastruktur asas ekonomi, pendidikan dan sosial setempat selama beberapa penggal sebagai Ahli Parlimen Kimanis.
“Paling menarik, keprihatinan beliau turut merangkumi kebajikan golongan kurang berkemampuan dan warga emas apabila ramai di antara mereka telah dibantu menunaikan ibadah haji,” tegasnya.
Siti Rukiah menambah terlalu banyak pembangunan dan kebaikan yang telah ditunjukkan Anifah sepanjang menjadi Ahli Parlimen Kimanis sebelum ini kerana sebagai pemimpin prihatin beliau berusaha sebaiknya untuk menunaikan amanah rakyat.
Beliau juga membandingkan calon Warisan, Dr Daud yang tidak membawa apa-apa kemajuan untuk kawasan ini sepanjang menjadi wakil rakyat Bongawan sebelum ini.
Menurutnya, seperti kepimpinan Warisan lainnya, alasan baru mentadbir selama dua tahun lebih menjadi antara hujah bagi menyembunyikan kegagalan beliau membawa apa-apa kemajuan ke kawasan ini.
“Sampai bila asyik hendak tuding jari dan tidak buat kerja? Jika menang lagi, mesti bagi alasan lagi untuk beberapa tahun akan datang. Sedangkan wakil rakyat lainnya sebelum ini termasuk Anifah sudah membawa pelbagai pembangunan dalam tempoh sama.
“Apa yang kita dengar hanya isu kontroversi melibatkan ‘individu dari negeri jiran’ yang rapat dengan beliau, termasuk kegagalan tadbir urus Unit Pegawai Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bongawan sebelum ini.
“Daripada situasi ini jelas menunjukkan Dr. Daud sebagai anak jati Bongawan gagal menjaga kepentingan bukan saja rakyat tetapi juga kepentingan kaum Brunei dan Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) di kawasan ini,” tegasnya.
Siti Rukiah juga lantang berkaitan calon BN, Ag Syairin yang jelas mewakili parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang selama ini telah menjadi ‘tuan di rumah kita’ hingga ditolak pada pilihan raya umum (PRU14) lalu.
Manakala k calon LDP, Mohd Azree, anak muda ini masih belum mempunyai misi jelas bagaimana mahu membangunkan Bongawan, selain hanya mampu berjanji ‘kosong’ untuk meraih sokongan. -MalaysiaGazette