RAKYAT Malaysia harus menghargai kepelbagaian kaum dan agama yang ada dalam negara ini. Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana negara kita memiliki
masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni buat sekian lama. Walaupun terdapat sedikit perbezaan antara masyarakat dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama ini, ia tidak bermakna kita semua tidak dapat hidup bersama dengan aman dan harmoni sebagai sebuah masyarakat didalam sebuah negara. Kita harus mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di negara-negara lain terutamanya di negara Amerika Syarikat baru-baru di mana tunjuk perasaan tercetus dalam kalangan penduduk kulit hitam yang tidak puas hati dengan layanan yang diberikan kepada mereka oleh sesetengah pihak berkuasa dan pemimpin kaum kulit putih walaupun mereka adalah warga sejati Amerika Syarikat. Walaupun Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang paling maju sekali dalam dunia pada ketika ini tetapi mereka gagal mewujudkan sebuah masyarakat yang dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta saling hormat- menghormati antara satu sama lain.
Semua pihak harus melakukan perubahan minda dan jiwa mereka supaya tidak mementingkan diri mereka atau mementingkan kaum mereka sahaja sekiranya kita ingin
kekal hidup aman dan harmoni serta menjadikan masyarakat dan negara kita sebagai sebuah masyarakat dan negara yang benar- benar maju serta dihormati oleh semua negara dan masyarakat dunia. Setiap individu adalah unik, setiap kaum juga adalah unik. Setiap daripada kita tidak diciptakan oleh Tuhan dengan sempurna, semua pihak
memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing. Oleh yang demikian, adalah penting supaya kita semua dapat ketepikan sebarang perbezaan kecil yang ada serta
bersatu hati bagi saling lengkap melengkapi antara satu sama lain bagi membawa kebaikan buat diri kita semua serta membawa kemajuan pada negara kita. Perkara ini juga jelas dinyatakan dalam agama Islam. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al – Hujurat: Ayat 13 yang bermaksud “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa- bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.
Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Mengenal”. Ayat Qur’an ini jelas menunjukkan kepada kita semua bahawa Tuhan telah ciptakan pelbagai kaum supaya kita dapat saling kenal-mengenali antara satu sama lain
serta hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni bukan untuk saling membenci atau menghina. Semua kaum di Malaysia telah memainkan peranan penting
dalam memajukan dan memakmurkan negara ini semenjak negara ini mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Hakikat ini harus diterima oleh semua pihak. Setiap daripada kita tanpa mengira kaum dan agama masing- masing akan terus mainkan peranan ke arah kemajuan dan kemakmuran negara kita sama ada sumbangan itu dibuat secara langsung atau pun secara tidak langsung. Keunikan negara Malaysia ialah ianya memiliki pelbagai jenis kaum yang dapat hidup aman dan damai tanpa adanya pergaduhan atau persengketaan teruk seperti yang berlaku di negara-negara lain. Malahan, negara- negara yang digelar sebagai negara maju di dalam dunia ni pun gagal untuk hidup aman damai bersama dengan kaum lain yang ada dalam negara
mereka serta dikalangan sesama kaum mereka sendiri.
Malaysia adalah sebuah negara bertuah kerana memiliki pelbagai kaum dan agama.
Dengan wujudnya kepelbagaian kaum ini, ia menjadi faktor penting dalam mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara aman dan makmur serta menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara yang maju. Antara tiga kaum utama yang wujud di Malaysia ialah Melayu, Cina, dan India. Selain itu, Malaysia juga merupakan tanah air kepada berpuluh
etnik yang berada di Malaysia Timur iaitu di Sabah dan Sarawak. Adalah penting supaya semua kaum dan etnik yang ada dalam negara kita dapat tinggal dalam sebuah
masyarakat dan negara untuk saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan saling bekerjasama bagi kemajuan kaum itu sendiri serta kemajuan negara secara
keseluruhannya.