Home Nasional Rumah calon bebas DUN Labuk musnah dalam kebakaran

Rumah calon bebas DUN Labuk musnah dalam kebakaran

BELURAN – Rumah calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 musnah dalam kebakaran di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Rastam Keladi berkata, rumah Abdul Rahman Kongkawang, yang juga penyandang kerusi DUN Labuk, di Kampung Muanad 3 di sini musnah dalam kejadian pada kira-kira 2.30 petang.

“Balai Bomba dan Penyelamat Beluran menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 2.35 petang tadi dan sepasukan bomba bergegas ke tempat kejadian, yang terletak kira-kira 8 kilometer dari balai.

“Kejadian melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal iaitu berstruktur kayu. Api berjaya dikawal daripada merebak sejam kemudian,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Rastam berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. – Bernama