Home Politik Anwar berdepan laluan sukar bawa reformasi ke Sabah

Anwar berdepan laluan sukar bawa reformasi ke Sabah

Tan Sri Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka berdepan laluan sukar untuk membawa agenda reformasi ke Sabah apabila presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi calon utama untuk jawatan Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana tindakan DAP menamakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri memperlihatkan Anwar tidak lagi relevan, lebih-lebih di Sabah.

“Susah dah Pak Sheikh nak jayakan reformasi. DAP awal-awal lagi dah endorsed DSSA for PM, ikut TM seolah olah DSAI dan tak relevan.

“DAP rela Sabah diseret ke belakang dan Malaysia dipimpin seseorang yang jadi robot TM N DZ..Jelas Kan?” katanya dalam ciapan terbaru di Twitter miliknya, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengulangi sokongan beliau terhadap Presiden PKR dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi Kerajaan Persekutuan.

Menerusi wawancara bersama Free Malaysia Today, beliau menjelaskan bahawa Anwar dan Mohd Shafie tetap menjadi pilihannya untuk menjawat jawatan tersebut.

Menurut Guan Eng lagi, komponen dan Ahli Parlimen gabungan parti itu yakin dengan kemampuan salah seorang calon Perdana Menteri itu bagi meraih sokongan bagi membentuk kerajaan.

Walaupun mereka menyokong Anwar untuk mendapat jumlah itu, namun jika Presiden PKR itu tidak mampu, PH perlu memberi Shafie peluang dan penghormatan sewajarnya kepada Perdana Menteri pertama dari Malaysia Timur. – MalaysiaGazette