Home Politik BN perlu menang besar demi kestabilan di Sabah – Najib

BN perlu menang besar demi kestabilan di Sabah – Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Program Bersama Bossku sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Kampung Kalansanan, Sepanggar, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Kestabilan politik di Sabah hanya terjamin sekiranya Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri pada 26 September ini.

Datuk Seri Najib Razak berkata, dengan kemenangan besar sahaja Kerajaan Negeri Sabah dapat dibentuk dengan lebih kukuh, seterusnya bertahan lebih lama.

Malah, katanya, pembangunan negeri juga boleh dilaksanakan.

“Saya setuju kita perlu sebuah kerajaan yang kuat, kalau  kemenangan sipi-sipi lebih satu dua kerusi sahaja, saya takut sejarah akan berulang sekali lagi.

Orang akan lompat dan kerajaan tidak akan stabil.

“Tetapi kalau kemenangan besar maka kerajaan itu boleh bertahan lama  selurang-kurangnya lima atau empat tahun,” katanya ketika Program Ramah Mesra Bersama Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau di Kg Kalansanan.

Justeru, Najib yang juga bekas Perdana Menteri berharap para pengundi di DUN Darau dan Sabah dapat membuat pemilihan terbaik pada 26 September nanti.

“Kita perlu undi dengan akal bukan emosi. Tanya apa kita mahu. Adakah kita mahu sebuah kerajaan yang boleh membawa kemajuan, kita nak sebuah kerajaan yang boleh menentukan politik negeri stabil, boleh menentukan kestabilan kita terjamin, boleh menyelesaikan harapan rakyat, boleh menentukan hari esok lebih baik dari hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan Parti Warisan sabah (Warisan) kini sudah semakin gentar dengan BN apabila mendakwa lokasi program berkempen yang sepatutnya diadakan di padang berdekatan kampung berkenaan  ditukar ke sebuah restoran.

“Kita tak dapat keizinan buat di padang sebelah sana, apakah ini petanda Warisan takut pada BN? Apakah ini bererti Warisan sudah gementar, dia tengok kekuatan kita.

“Jadi dia nak sekat kita dia nak menyusahkan kita tapi dalam apa juga halangan sekatan kita tetap sokong BN,” katanya lagi. -MalaysiaGazette