LONDON – Penduduk England yang melanggar peraturan baharu Covid-19 akan denda hingga 10,000 pound, kata Perdana Menteri, Boris Johnson.
Beliau telah mewajibkan mana-mana individu yang telah bersentuhan dengan seseorang dijangkiti Covid-19 supaya kuarantin diri sendiri.
Peraturan tersebut akan dikuatkuasakan mulai 28 September untuk sesiapa sahaja positif virus tersebut atau diberitahu oleh pekerja kesihatan awam bahawa mereka telah bersentuhan dengan individu yang telah menularkan wabak itu.
“Individu ingkar dengan peraturan itu akan didenda yang jumlah yang besar,” kata Johnson dalam satu kenyataan.
Denda akan bermula dari 1,000 pound untuk kesalahan pertama, meningkat menjadi 10,000 pound untuk pesalah berulang atau kes yang mana majikan mengancam untuk memecat pekerja yang perlu dikuarantinkan.
Sebilangan pekerja berpendapatan rendah yang mengalami kehilangan pendapatan akan menerima pembayaran sokongan 500 pound, di samping faedah lain seperti gaji sakit kepada mereka yang layak.
Mereka yang berkenaan perlu berada di rumah masing-masing sekurang-kurangnya 10 hari setelah mereka mula mengalami gejala Covid-19 dan bagi isi rumah lain pula tidak boleh keluar rumah selama 14 hari.
Sesiapa yang diuji positif juga diminta untuk memberikan perincian mengenai kontak rapat mereka supaya kuarantin dapat dilaksanakan.
Hingga kini England tidak melaksanakan penguatkuasaan kuarantin dengan serius kecuali kepada individu yang kembali dari luar negara.
Disebabkan itu, Britain sekarang menghadapi peningkatan penularan wabak dengan cepat dan kerajaan mengatakan polis akan terlibat dalam memeriksa kepatuhan di daerah yang mengalami jangkitan tertinggi. – MalaysiaGazette