SANDAKAN – Warisan Plus memerlukan peratusan mengundi yang melebihi 70 peratus untuk memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.
Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 50 peratus mungkin menyebabkan pakatan politik itu tumbang.
Chin Tong justeru menyeru orang Sabah yang berada di luar negeri itu untuk pulang mengundi bagi menumbangkan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.
Dalam satu ceramahnya di Sandakan, Chin Tong berkata, kebangkitan pengaruh Datuk Seri Shafie Apdal di Sabah juga akan mengoncang keadaan politik seluruh negara.
“Jika Warisan Plus yang dipimpin Shafie dapat mencatatkan kemenangan, kesannya pasti akan dirasai di Sarawak yang akan mengadakan pilihan raya selewat-lewatnya pada 2021.
“Angin yang bertiup dari Sabah mampu menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, jika kerajaan Sarawak masih bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dipetik Oriental Daily.
Chin Tong berkata, hubungan kerjasama antara parti-parti yang menyokong Perikatan Nasional tidak akan berkekalan.
Katanya, keadaan itu boleh dijangkakan dengan melihat ketidakseragaman mereka dalam soal calon ketua menteri untuk Sabah. – MalaysiaGazette