KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Amanah (Amanah), Suhaizan Kayat meminta sayap Pemuda dan Awan serta akar umbi supaya tidak terlampau obses menguar-uarkan dan memberikan penekanan terhadap Perikatan Nasional untuk mengembalikan mandat rakyat yang dirampas penghujung Februari lalu.
Ini kerana, pihaknya khuatir ia akan memberi kesan dan tempias buruk terhadap parti dan PH kelak.
“Perikatan Nasional ini, rating PM (Tan Sri Muhyiddin Yassin) waktu ini memang agak tinggi. Jadi kalau kita terlalu obses mendesak mereka mengembalikan mandat rakyat ini, kita khuatir ada kesan dan rakyat akan bosan dengan kita.
“Tetapi ingat, jika ada ruang dan peluang itu tiba tepat pada masanya, maka kita gunakan peluang itu dan memanfaatkan sebaik-baiknya.
“Kita kena sabar bertindak secara bertamadun dalam setiap langkah ke arah memperjuang dan mengembalikan hak rakyat dan kepentingan negara.
“Ini bermakna janganlah sampai kita uar-uarkan sampai rakyat bosan dan kecewa dengan tindakan kita..kita perlu terima hakikat rakyat ketika ini terbeban dengan pandemik Covid-19 yang sangat mendalam,” kata Setiausaha Organisasi Amanah Nasional itu dalam majlis menyempurnakan Kovensyen Pemuda dan Awan Amanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu negara.
Turut hadir Setiausaha Agung Amanah, Dr. Hatta Ramli dan Ketua Pemuda Amanah Nasional Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.
Suhaizan yang juga Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Johor menambah, di negeri tersebut ramai peniaga kecil-kecilan termasuk kira-kira 400,000 rakyat yang bekerja di Singapura bakal menerima kesan buruk apabila pandemik Covid-19 berakhir nanti.
Menurutnya, berbanding kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang berulang alik bekerja di negara jiran itu, ketika ini angka tersebut sudah merosot kepada sekitar lebih 1,000 orang sahaja sehari.
“Di Johor ramai akan kehilangan pekerjaan nanti akibat tempias Covid-19, termasuk peniaga kecil dan sebagainya.
“Kerajaan negeri juga menjangkakan ekonomi negeri itu akan mengalami kemerosotan 20 peratus kemerosotan, itu hanya ramalan..
“Jadi jika ada peluang kita manfaatkan dengan menyelesaikan masalah rakyat, tetapi perlu sedar kita tidak boleh lari dari persiapan berdepan Pilihan Raya Umum-15.
“PM sudah cakap kalau mereka boleh bentuk kerajaan di Sabah, barulah disegerakan PRU-15. Maka kita dalam PH sebagai satu gabungan sahaja lebih mudah meneruskan urusan kerusi bertanding.
“Tetapi PN berada dalam ‘market’ sama iatu orang Melayu dan Islam melibatkan Bersatu, UMNO dan Pas sukar menguruskan pengagihan kerusi dalam kalangan mereka,” katanya.
Disebabkan itu, katanya, Muhyiddin takut membubarkan Parlimen sekarang untuk PRU.
Ujarnya, walaupun Muhyiddin berkuasa menasihati Sultan Johor pembubaran DUN serentak dengan Parlimen, tapi beliau tidak berkeyakinan boleh menguruskan masalah dalaman parti PN.
“PN pun pening sebab terlampau banyak gabungan parti dalam gabungan PN.Kita hanya satu gabungan utuh iaitu PH, mereka dalam PN ada gabungan BN, Muafakat Nasional dan kini bertambah dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Ini menggambarkan ia sangat bermasalah berbanding kita walaupun baru berusia lima tahun, Amanah diberi peluang meletakkan calon di Sabah iaitu lebih baik daripada langsung tidak ada,” tegasnya. – MalaysiaGazette