LONDON – Dua gol Wilfried Zaha ke atasĀ bekas kelabnya menyaksikan Crystal Palace memusnahkan aksi pembukaan Red Devils dengan kemenangan 3-1 di Old Trafford.
the Eagles mengejutkan tuan rumah dengan gol seawal minit ketujuh menerusi Andros Townsend.
Namun skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer buntu untuk mencari gol penyamaan sepanjang 45 minit separuh masa pertama walaupun menguasai 75 peratus bola sepanjang perlawanan di atas padang.
Di separuh masa kedua the Red Devils mempamerkan aksi yang meyakinkan tetapi telah bergelut untuk merobek gawang pertahanan kebal pasukan lawan.
Penyerang Martial dan Rashford yang mengetuai jentera serangan gagal mencipta sebarang percubaan tepat gol di hadapan gawang gol lawan sepanjang perlawanan 90 minit itu.
Mereka tidak dapat bersaing dengan aksi serangan balas Crystal Palace khususnya bek pertahanan Man United yang terdiri daripada Victor Lindelof dan juga Harry Maguire.
Pada minit ke-74 Manchester United sekali lagi diundang padah apabila bola yang terkena tangan Lindelof menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad lawan.
David de Gea berjaya menepis sepakan penalti lawan bagaimanapun pengadil Atkinson memberikan sepakan semula kepada Crystal Palace atas alasan penjaga gol de Gea keluar dari garisan tiang gol sebelum menyaksikan Zaha berjaya menyempurnakan sepakan semula itu menjadikan keputusan semasa 2-0.
Ole membawa masuk bintang Belanda Donny van de Beek sebelum pemain itu berjaya membuka jaringan pertama untuk Man United sekaligus mencerahkan peluang merapatkan kedudukan 1-2.
Namun sekali lagi kesilapan bek pertahanan Lindelof menghukum pasukan tuan rumah apabila Zaha muncul wira merembat masuk gol ketiga untuk mengesahkan tiga mata penuh untuk Crystal Palace awal pagi tadi.-MalaysiaGazette