KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan di perumahan Bandar Kinrara dekat sini melalui detik cemas apabila hampir maut apabila ditembak oleh saspek tidak dikenali di hadapan kediamannya hari ini.
Kejadian di luar jangkaan itu berlaku sekitar 12.30 tengahari.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, mangsa seorang lelaki berusia 35 tahun yang beralamat di Jalan BK 5/3 Bandar Kinrara.
Katanya, polis menerima panggilan sekitar jam 12.45 tengahari seorang lelaki terkena tembakan.
Mangsa ketika itu difahamkan baru sampai ke rumah dan meletakkan kereta di hadapan pintu pagar kediamannya.
Difahamkan ketika keluar dari kereta menuju pintu rumah, seorang lelaki menunggang motosikal melepaskan tembakan ke arahnya.
Ismadi menjelaskan, polis bergegas ke lokasi kejadian dan siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan di rusuk sebelah kiri dipercayai akibat terkena satu das tembakan menggunakan senjata pistol.
“Mangsa dalam keadaan stabil dan ditahan di hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau, pihak forensik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor turut hadir di tempat kejadian bagi membantu siasatan.
Polis sedang menjalankan siasatan mengenai insiden tembak itu dan telah berjaya mengenalpasti saspek yang terlibat.
“Operasi dilancarkan untuk memburu dan membuat tangkapan suspek sementara siasatan lanjut masih diteruskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang,” katanya.
Siasatan kes sedang dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette